`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

1 JUNE 2026

Wednesday, June 10, 2026

Selangor, Singapura sedia perdalam kerjasama di sebalik ketidaktentuan global

 MB Selangor berkata, kedua-dua ekonomi boleh bekerjasama untuk bangunkan rangkaian syarikat tempatan yang dipercayai di Asia Tenggara.

MB Selangor Amirudin Shari berada di Singapura sejak semalam untuk lawatan kerja tiga hari atas jemputan kerajaan Singapura di bawah program SR Nathan Fellowship. (Gambar Facebook)
SINGAPURA:
Selangor dan Singapura berada pada kedudukan yang baik untuk memperkukuh kerjasama bagi menangani cabaran di sebalik ketidaktentuan global, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Beliau percaya, kedua-dua ekonomi berkenaan boleh bekerjasama untuk membangunkan rangkaian syarikat tempatan yang dipercayai di Asia Tenggara.

“Selangor dan Singapura mempunyai banyak persamaan sama ada dari segi sejarah mahupun dalam fabrik budaya masyarakat majmuk kita sekarang, malah kita mempunyai lebih banyak ruang untuk bekerjasama bagi menangani cabaran besar yang dihadapi oleh kedua-dua masyarakat kita,” katanya di Facebook hari ini.

Amirudin sedang mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Singapura sejak semalam atas jemputan kerajaan Singapura di bawah program SR Nathan Fellowship.

Semasa lawatan itu, beliau turut mengunjungi Menteri Kanan Lee Hsien Loong di Sri Temasek, selain bertemu dengan beberapa menteri termasuk Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan dan Menteri Pendidikan Desmond Lee.

Amirudin dan Lee turut mengadakan perbincangan yang berpusat kepada kestabilan sebagai prasyarat untuk pertumbuhan ekonomi yang berterusan, sekali gus sebagai medium untuk memberikan kepastian dalam persekitaran yang sedang berubah.

“Lee kekal sebagai pemerhati yang peka terhadap perkembangan di rantau ini, dan saya menyampaikan jaminan saya bahawa kejelasan tadbir urus adalah keutamaan saya di Selangor, serta menyampaikan salam daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi pihak Malaysia kepada Singapura,” tambah Amirudin.

Sementara itu, Amirudin turut bertemu dengan para pemimpin perniagaan Singapura bagi Mesyuarat Meja Bulat Pelaburan yang dihoskan oleh OCBC Singapore dan Invest Selangor untuk bertukar-tukar pandangan serta cadangan mengenai cabaran ekonomi semasa.

Sesi tersebut menghimpunkan syarikat yang berpangkalan di Singapura, perusahaan multinasional, pelabur berpotensi, institusi kewangan serta peneraju industri untuk meneroka kelebihan unik Selangor sebagai destinasi pelaburan pilihan di Asean.

“Kerjasama teguh antara kerajaan Selangor menerusi Invest Selangor dan OCBC mencerminkan komitmen bersama kami untuk memperkukuh hubungan ekonomi, mempermudah aliran pelaburan, serta mewujudkan peluang baharu bagi perniagaan yang ingin berkembang di seluruh Asean,” katanya.

“Sesi meja bulat ini menyediakan platform penting untuk dialog yang membina, pertukaran pengetahuan serta penglibatan antara perniagaan-ke-kerajaan, sekali gus membolehkan kami memahami dengan lebih baik keperluan pelabur, trend pasaran dan jangkaan industri sambil mempamerkan peluang luas yang tersedia di Selangor.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.