Oleh : MUTALIB M.D
MUNGKIN bantuan dana RM15,000 setahun hanya cukup untuk memelihara 45 ekor kambing di dalam Fidlot, tetapi bukan untuk menyara 45 orang buta yang serba serbi kekurangan, sekalipun mendapat Kompleks Penyayang bernilai RM5 juta.
Entah di mana silapnya Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah yang diterajui oleh seorang ahli politik berpengalaman dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS) yang mengabaikan 100 peratus kebajikan orang buta, majoritinya kaum Kadazandusun yang bukan sahaja terpinggir serba serbi; malah tidak mempunyai kad pengenalan.
Sudah berkajang surat diutus, namun mungkin Ahli Parlimen, Menteri, Pengarah dan pemimpin masyarakat tidak pandai membaca kerana sibuk dengan tugas masing-masing. Walaupun surat yang dihantar dalam bahasa Melayu dan bukannya menggunakan sistem Braille, namun tidak pernah mendapat jawatan sehingga Pusat Latihan Orang Buta terpaksa mencari dana sendiri.
Lebih memalukan Konglomerat seperti IOI yang mempunyai ratusan ribu ekar ladang pertanian di Sabah hanya mampu menderma papantanda yang bernilai tidak sampai RM100. Di mana CSR yang dilaungkan selama ini?
45 orang buta yang berlindung panas dan hujan di Kompleks Penyayang umpama melukut di tepi gantang kerana masyarakat hilang deria kasihan dan tidak mempunyai deria untuk melihat kepincangan yang berlaku di tengah-tengah kepesatan pembangunan negara.
Pusat Latihan Orang Buta ini, terutama di rumah kelamin bukan sahaja kelihatan daif, malah tidak sesuai untuk orang buta kerana terdedah dengan pelbagai risiko; namun siapa yang peduli?
Jika isu ini juga memerlukan perhatian dan campurtangan Ketua Menteri Sabah (yang telah meluluskan peruntukan RM5 juta untuk membina Kompleks Penyayang) maka apakah peranan Ahli Parlimen Libaran, Menteri Pembangunan Masyarakat, Pengarah JPKA dan pemimpin masyarakat yang dilantik mewakili kerajaan?
JAWS.....Surat rayuan spontan ini ditaip menggunakan perisian JAWS kerana Braille mungkin tidak difahami oleh Ketua Menteri Sabah. Memang diakui terdapat banyak kesilapan, tetapi itulah yang mampu dihasilkan Yonjilin, salah seorang pelatih di Taman Cahaya.
Sebenarnya penghuni Taman Cahaya tidak buta tetapi mereka tidak dapat melihat kejahilan kita yang tidak nampak kesusahan mereka yang bukan sahaja disisih di bangunan usang; malah dibatasi ilmu pengetahuan dengan menyekat bajet dan bantuan untuk menaiktaraf prasarana antik di Pusat Latihan ini.
Saksikan kejahilan dan kebodohan kita yang tidak dapat melihat bakat yang ada pada orang buta, terutama dalam bidang IT dan ICT. Mungkin anda akan merasa diri anda kecil selepas ini. Selamat Menonton!
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.