Wednesday, January 23, 2013

MINI HONG KONG SEMAKIN PESAT MEMBANGUN




PERJUANGAN...V.K Liew (tengah) bersama-sama pemimpin kanan komponen BN menyanyikan lagu BN.

Oleh : SAIMON S JUMADI
KEMAJUAN yang dinikmati bandar ini terutama melibatkan aspek pembangunan ekonomi menjadikan Sandakan suatu ketika dahulu terkenal sebagai 'Bandar Mini Hong Kong' kini membangun pesat sekali gus muncul antara destinasi pelancongan menarik kepada pelancong asing.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew View Keong, berkata perkembangan yang amat menggalakkan ini adalah hasil kesungguhan dan komitmen pemimpin-pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) yang sentiasa merancang untuk membawa pembangunan di bandar tersebut.
Beliau berkata, kepesatan pembangunan bukan sahaja menjadikan ia sebagai pintu masuk kepada pelbagai sektor tetapi membuka lebih banyak peluang pekerjaan khususnya terhadap golongan belia.

Katanya, kewujudan bandar-bandar kecil termasuk paling popular sekarang ini iaitu 'Sandakan Harbour Square' yang tersergam indah dengan sebuah pusat membeli-belah terunggul turut memberikan keyakinan kepada pihak pelabur luar.

"Tahap prasarana infrastruktur di bandar Sandakan terus meningkat, apatah lagi usaha-usaha membawa masuk projek pembangunan samada yang melibatkan membina mahupun menaiktaraf sedang dan telah dilaksanakan.

"Perkembangan positif ini adalah hasil komitmen wakil-wakil rakyat BN khususnya melibatkan Parlimen Sandakan yang sentiasa bekerjasama bukan hanya semata-mata membawa pembangunan bahkan untuk menepati janji kepada rakyat.

"Oleh itu, suka saya ingatkan bahawa kita akan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi dan apa yang penting ialah warga Sandakan terus memberikan sokongan padu kepada calon-calon BN yang bakal bertanding.

"Usah terpengaruh seandainya pihak pembangkang menabur janji manis ... percayalah, mereka tiada keupayaan pun. Rakyat harus matang dan berfikiran bijak bila memilih kerajaan, jangan sampai terpedaya akibatnya anda yang rugi," jelasnya semasa ditemui sejurus mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Jawatankuasa BN Parlimen P.186 Sandakan di sebuah hotel terkemuka di sini, kelmarin.

Dalam konteks itu, Liew yang juga Ahli Parlimen Sandakan menaruh kepercayaan tinggi sokongan masyarakat Cina di kawasan ini terhadap BN tidak pernah berbelah-bagi, malah semakin meningkat.

Menurut beliau, berdasarkan pemantauan yang dilakukan menunjukkan masyarakat tersebut tetap memihak kepada sesiapa sahaja calon BN yang bertanding nanti.

Ini kerana, katanya, mereka amat menghargai sumbangan yang telah diberikan kerajaan BN selama ini terutama pelbagai kemajuan yang dinikmati membolehkan suasana perniagaan berjalan dengan baik.

"Kita berpuas hati dengan tahap persediaan BN Sandakan dalam menghadapi PRU-13 nanti ... strategi rapi sedang kita lakukan untuk memastikan jentera parti bertambah kukuh di setiap peringkat.

"Saya mengingatkan rakan-rakan komponen BN tadi bahawa kita mesti permantap Pusat Daerah Mengundi atau PDM bagi memastikan senarai pengundi yang ada dapat dikenal pasti.

"Apa yang lebih mustahak sekarang ini adalah kerjasama antara satu sama lain amat penting selain rajin turun padang bagi memaklumkan rakyat bahawa kemajuan, keamanan dan kestabilan politik adalah hasil usaha pimpinan BN," kata Liew selaku Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) itu.

Katanya, jentera parti BN sudah siap siaga dan tidak gentar menghadapi mana-mana parti pembangkang pada PRU-13.

Dalam pada itu, Liew turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Perindustrian Negeri merangkap Wakil Rakyat Tanjung Papat iaitu Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan Wakil Rakyat Elopura, Au Kam Wah yang hadir pada mesyuarat itu.

Katanya, kehadiran kedua-dua wakil rakyat membuktikan bahawa kerjasama baik di kalangan komponen BN ini adalah petanda kerja berpasukan menjadi prinsip utama.

Katanya lagi, kemenangan BN di kawasan ini pada pilihan raya lepas disebabkan semangat berpasukan yang jitu membolehkan BN memenangi pilihan raya meskipun mendapat tentangan sengit.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.