Friday, September 20, 2013

MEB vs DEB (Bhg 1)

http://roketkini.com/wp-content/uploads/2013/01/aspan-alias.jpg 
 
DEB telah diabaikan dan dasar baru diwujudkan semata-mata kerana hendak melakukan segala-galanya di zaman pemerintahan beliau (Mahathir). Perancangan Pembangunan tidak lagi tersusun mengikut agenda dan semangat DEB itu walaupun tempoh DEB itu belum pun tamat semasa itu.  
 
Aspan Alias

Mahu tidak mahu kita mesti akui yang keadaan politik negara dan pentadbiran pelaksana Dasar Negara sudah sampai ke tahap yang amat membimbangkan. Keadaan sekarang ini  begitu dirasakan. Ratusan, malahan ribuan manusia memberikan sebab kenapa keadaan menjadi sebegini buruk.

Sudah bertahun-tahun UMNO di berikan peluang untuk memperbaiki diri tetapi keadaan semakin buruk hari demi hari. Boleh lah kita mengambil pendirian yang ‘conclusive’ yang UMNO itu tidak akan dapat diperbaiki lagi. Apa juga tindakan membaik-pulih UMNO yang dilakukan oleh pucuk pimpinan dan barisan pimpinan tertinggi UMNO itu semuanya tidak kena dan tidak pernah tepat kepada sasaran. Semua hasil dari tindakan dan pengumuman perancangan kerajaan itu adalah ‘predictable’, iaitu kegagalan.

Pada hari ini kita wajar berterus terang dan jujur dalam memberikan pandangan. Pimpinan UMNO sekarang sudah tidak mempunyai apa-apa kebolehan lagi selain dari menjahanamkan ‘fabric’ politik tanah air dan amat membebankan rakyat. UMNO betul-betul sebuah parti yang menghadapi penyakit tua. Kos untuk mengubatinya terlalu tinggi. Itu pun belum tentu sembuh lagi.

Rakyat sudah kenyang dengan pengumuman berbagai-bagai perancangan dan belum pun satu dari banyak-banyak perancangannya telah nampak kejayaannya. Yang terakhir ialah perancangan tentang Pembangunan Bumiputra dan Melayu dan apa yang di umumkan itu semuanya merupakan ulangan dari apa yang telah di umumkan semasa pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) dahulu.

Perancangan yang di umumkan tidak terancang dengan baik. Kali ini pengumuman itu tidak lari dari sebab hendak menghadapi pemilihan dalam UMNO untuk memperagakan yang beliau adalah pemimpin Melayu yang efektif. Seperti perancangan yang puluhan jumlahnya yang telah Najib umumkan selama ini, peranangan MEB (Memperkasakan Ekonomi Bumiputra) beberapa hari lalu adalah ‘predictable’. Bagi siapa yang menilai betul-betul dan jika di asaskan kepada pengalaman beberapa tahun Najib menjadi PM ini, MEB akan gagal juga.

MEB laungan Najib itu tidak lain tidak bukan, ialah dasar yang sama seperti DEB dahulu. DEB dahulu diwujudkan dengan persetujuan semua kaum dan ianya di rancang begitu rapi dengan bermatlamatkan satu matlamat sahaja, iaitu perpaduan kaum. Apa-apa perancangan sesuatu dasar penting negara ia mesti di rundingkan dahulu dengan semua pihak. Untuk merundingkan itu ia memerlukan pimpinan atau barisan pimpinan yang sebenar-benarnya di hormati oleh pimpinan rakyat semua kaum yang mendiami negara ini sebagai rakyat negara.

Ini amat perlu kerana sesuatu dasar itu mesti difahami dan diketahui sebagai dasar yang boleh membawa perpaduan kaum di negara ini. Masalahnya sekarang ini pimpinan negara tidak mendapat penghormatan rakyat secara keseluruhannya dan masalah untuk membawa kemeja perundingan untuk penggubalan dasar itu tidak dapat dilakukan dengan baik. Kerajaan boleh mengumumkan apa-apa dasar tanpa merujuk kepada semua rakyat tetapi inilah jadinya seperti yang kita alami sekarang.

Pimpinan kerajaan perlu memberi kefahaman kepada semua kaum melalui pimpinannya betapa pentingnya pengimbangan dan pembahagian kekayaan negara untuk menjamin kesejahteraan negara dalam jangka panjang. Katakan dan fahamkan semua pihak bahawa kita terpaksa melalui proses-proses yang drastik dan jelas untuk mencapai matlamat Perpaduan Nasional itu.

Katakan dan fahamkan yang ekonomi merupakan faktor terpenting dalam usaha pencapaian matlamat itu, maka dasar-dasar yang ‘affirmative’ perlu dilaksanakan bagi mencapai matlamat tersebut. Jika majoriti rakyat itu berada dalam keadaan kemurungan, kedudukan ekonomi matlamat pencapaian Perpaduan Nasional itu akan tidak tercapai sampai bila-bila.

Itulah yang dilakukan oleh pimpinan terdahulu khususnya Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak. Setiap bangsa dalam negara ini dibawa berunding maka hasilnya setiap bangsa telah memberikan dukungan kepada DEB semasa itu. Bangsa-bangsa bukan Bumiputra telah bersama-sama berusaha menjayakan matlamat itu dengan menerima DEB sebagai proses pencapaian Perpaduan Nasional itu.

Semua kaum telah merasakan betapa pedihnya keadaan semasa berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 telah di ketahui umum ketidak seimbangan kedudukan dan tahap ekonomi setengah kaum itu merupakan salah satu faktor terjadinya peristiwa itu. Kemiskinan merupakan faktor yang sangat mudah bagi kegelisahan rakyat untuk wujud dan akhirnya membawa sebuah negara itu terjebak dengan peperangan saudara dan perselisihan diantara mereka (rakyat).

Itu sebabnya DEB itu wujud diatas matlamat yang begitu luhur kerana ia telah difikirkan dengan mendalam bukan sahaja oleh pemimpin Melayu tetapi juga oleh pemimpin semua kaum. Ia berlaku sebegitu kerana semua kaum sedar yang keseimbangan kedudukan dan tahap ekonomi itu sangat penting untuk diselesaikan.

Maka telah dipersetujui oleh semua kaum semua proses untuk matlamat itu. Di antara proses itu ialah:

1)      untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.
2)      Membasmi cara pengenalan kaum melalui fungsi ekonominya.
3)      Merapatkan jurang pendapatan diantara yang berada dan tidak berada
4)  Membesarkan kek ekonomi agar proses menambah kekayaan dan pegangan kekayaan negara melalui pegangan ekuiti negara itu tidak dilakukan dengan mengambil hak bukan Bumiputra.
5)      Dan lain-lain.

PM Razak semasa itu telah melengkapkan usaha ini dengan memilih orang-orang dan pemimpin yang berwibawa yang dihormati oleh semua kaum untuk menentu segala tindakan bagi pencapaian matlamat itu.

Jawatankuasa kabinet yang ditubuhkan oleh PM Razak dan PM Hussein semasa itu adalah di kalangan pemimpin yang mempunyai nilai teknokrat yang tinggi dan berkemampuan tanpa disaluti dengan isu peribadi seperti rasuah yang menggila dan sebagainya.

Tengku Razaleigh merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kabinet, Jawatankuasa Penyelaras dan Pelaburan Kabinet. Jawatankuasa ini adalah jawatankuasa yang mantap yang telah bertanggungjawab mencadang dan menentukan pelaksanaan DEB berjalan lancar.

Zaman itulah kita lihat DEB itu berjaya dengan pesatnya dalam mana pegangan ekuiti dan pegangan harta kekayaan negara yang di miliki oleh Bumiputra meningkat dengan jayanya.

Dari hanya mempunyai 2.7 peratus pegangan ia telah meningkat sehingga 18.4 peratus pada tahun 1983. Tetapi selepas teraju pelaksanaan DEB ini di ketuai oleh Mahathir dan Daim Zainudin, perkembangan ini telah terbantut kerana Tengku Razaleigh tidak lagi diberikan tugasan untuk meneruskan usaha pencapaian matlamat DEB itu. Dalam kabinet sudah tiada ‘planners’ yang berwibawa. Yang ada hanyalah ‘plunderers’ yang tegar semata-mata.

DEB telah diabaikan dan dasar baru diwujudkan semata-mata kerana hendak melakukan segala-galanya di zaman pemerintahan beliau (Mahathir). Perancangan Pembangunan tidak lagi tersusun mengikut agenda dan semangat DEB itu walaupun tempoh DEB itu belum pun tamat semasa itu. Lagi pula di zaman inilah bermulanya bibit-bibit rasuah itu membenih. Ada orang mahu jadi kaya raya apabila mendapat kuasa ditangan.

Kita kaji apakah yang menyebabkan kejayaan DEB pada awalnya dan kegagalannya ditengah jalan dasar itu dalam posting yang akan datang. (bersambung)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.