Thursday, September 19, 2013

Shahrizat nafi ada kaitan dengan 1Azam

Biar SPRM ambil tindakan yang sewajarnya.
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan bahawa beliau tiada sebarang kaitan dengan Program Akhiri Zaman Miskin (1Azam).
Malah beliau tidak terlibat sama sekali dalam senarai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kes penyelewengan dana 1Azam.
Beliau sebaliknya mengalu-alukan SPRM menyiasat perkara berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pesalah jika didapati terlibat.
“Biar mereka (SPRM) ambil tindakan yang sewajarnya…eloklah macam itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan media berhubung pengakuan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Suhaimi Ibrahim yang disoal siasat oleh SPRM bersama enam yang lain untuk membantu mengenai kes penyelewengan dana 1Azam itu.
Dana 1Azam merupakan projek di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Suhaimi bagaimanapun menafikan bahawa beliau adalah pemilik 10 kenderaan termasuk kereta mewah seperti dilaporkan secara meluas oleh media massa.
Beliau telah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM100,000 selepas ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Shahrizat mengesahkan dirinya menjadi penasihat di pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk pembangunan usahawan dan ikhtisas wanita.
Bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, dirinya ditugaskan khusus untuk sektor keusahawanan dan pembangunan profesional di
kalangan wanita.
Katanya, tugas itu yang memerlukannya bekerjasama dengan kementerian lain termasuk NGO dan pihak lain membentangkan satu kertas kerja bagi memajukan wanita.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.