SOALAN NO. 56
PERTANYAAN : JAWAB LISAN
DARIPADA : PUAN TERESA KOK SUH SIM [SEPUTEH]
TARIKH : 28 OKTOBER 2013 (ISNIN)
SOALAN :
PUAN TERESA KOK SUH SIM [SEPUTEH] minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan sama ada Kementerian berkeinginan untuk meminda undang-undang yang memperkenalkan prosedur yang menghendaki ibu bapa bersama dengan anak-anak semasa mereka disoal-siasat oleh polis yang mana sejajar dengan jiwa “Convention of Rights of Children”.
JAWAPAN :
Tuan Yang di-Pertua,
Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak atauConvention on the Rights of the Child (CRC) pada tahun 1995. Konvensyen ini menjadi asas kepada tindakan kerajaan dalam menggubal Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] pada tahun 2001. Dalam hal ini, adalah menjadi obligasi kerajaan untuk memberi perlindungan dan memelihara kebajikan kanak-kanak di negara ini.
Berhubung kanak-kanak yang melalui prosedur siasatan sama ada di bawah Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] atau Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], pihak kerajaan akan memastikan kepentingan kanak-kanak tersebut sentiasa terjaga selaras dengan obligasi Kerajaan di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.
Seksyen 87 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] memperuntukan bahawa bagi kanak-kanak yang ditangkap, pihak polis hendaklah memaklumkan berkenaan penangkapan tersebut kepada pegawai akhlak dan ibu atau bapa atau penjaga dengan serta-merta. Sekiranya kanak-kanak memerlukan khidmat bantuan guaman, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyakat (KPWKM), melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, boleh mendapatkan bantuan yang diperlukan.
Berhubung soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat, buat masa ini KPWKM tidak berhasrat untuk meminda undang-undang yang menghendaki kehadiran ibu, bapa atau penjaga ini dalam proses siasatan kanak-kanak. Kementerian berpandangan prosedur dalam menjaga hak dan kepentingan kanak-kanak.
Walau bagaimanapun, Kementerian sedang meneliti model yang digunakan oleh negara-negara lain mengenai perkara ini. Sebagai contoh, KPWKM telah mengenal pasti bahawa Australia, Seksyen 464E Crimes Act 1958 mewajibkan kehadiran ibu atau bapa atau penjaga sebelum penyiasatan dijalankan terhadap kanak-kanak ditahan atau ditangkap di mana kanak-kanak dibenarkan berkomunikasi dengan ibu atau bapa atau penjaga. Kehendak boleh dikecualikan sekiranya terdapat perkara yang mendesak, kebimbangan kehilangan bukti atau fabrication of evidence.
Sehubungan itu, sekiranya terdapat keperluan mendesak di masa hadapan, KPWKM akan berunding dengan agensi yang berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia mengenai keperluan pindaaan undang-undang dalam memastikan kepentingan dan kebajikan kanak-kanak lebih terperlihara.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.