Friday, January 10, 2014

Kena cabul dalam perjalanan ke sekolah

TELUK INTAN - Seorang pelajar tingkatan empat trauma setelah dicabul seorang lelaki ketika dalam perjalanan ke sekolahnya di langkap, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang baru keluar dari rumah secara tiba-tiba dipeluk suspek berusia 23 tahun itu.

Menurutnya, suspek yang memeluk mangsa dari arah belakang kemudiannya menutup mulut remaja itu menggunakan tangan dan cuba menarik pelajar itu ke dalam rumah.

"Mangsa kemudian menggigit tangan suspek sebelum menjerit meminta pertolongan.

“Secara kebetulan, seorang jiran mangsa yang baru menghantar anaknya ke sekolah terlihat kejadian itu dan segera menegur lelaki berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang terkejut dengan  teguran tersebut terus  melarikan diri.

Jelasnya, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bibir dan mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan sebelum membuat laporan di Balai Polis Langkap.

"Kami sudah mengenal pasti suspek apabila abang lelaki itu sendiri menyerahkannya kepada pihak berkuasa selepas laporan polis dibuat.

"Suspek yang bekerja sebagai juru kimpal itu ditahan reman dan dipercayai sudah mengenali mangsa sejak dua tahun lalu.

“Kita tahan reman suspek selama tiga hari sehingga 10  Januari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.