Tuesday, October 24, 2017

Menteri akui sesetengah hospital kurang ubat tertentu

Menteri kesihatan berkata, kekurangan itu tiada kaitan dengan dana, sebaliknya berpunca daripada masalah bekalan.
subra_ubat_600
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam mengakui sesetengah hospital berdepan masalah kekurangan ubat tertentu dahulu, tetapi ia tiada kaitan dengan “isu pembiayaan”.
“Ada masa di mana sesetengah hospital mungkin tidak mempunyai ubat tertentu akibat isu bekalan dan logistik.
“Apabila itu berlaku, kami menasihatkan hospital membantu sesama mereka. Farmasi sebagai agensi pusat, mempunyai data stok simpanan di mana-mana, jadi mereka mempunyai kapasiti untuk memindahkan bekalan dan menyokong hospital lain.
“Ada insiden di mana sesetengah syarikat tidak membekalkan ubat seperti dijadualkan. Akibatnya, doktor menukar pilihan ubat dan orang ramai fikir kerajaan tiada ubat itu,” katanya ketika menandatangani memorandum persefahaman antara Kementerian Kesihatan dengan Yayasan Standard Chartered hari ini.
Beliau mengulas laporan FMT berhubung peningkatan pesakit di hospital kerajaan mengakibatkan kekurangan ubat.
Laporan itu memberi contoh dalam beberapa situasi, pihak hospital terpaksa meminta pesakit mencari ubat sendiri atau menjalani ujian di tempat lain kerana kekurangan dana.
Dr Subramaniam berkata, kementeriannya berusaha memastikan bekalan ubat asas yang diperlukan untuk merawat penyakit biasa sentiasa ada.
“Tetapi, ada penyakit tertentu ubatnya sangat mahal. Contohnya, ubat kanser khasnya yang terbaharu sangat mahal.
“Apabila kita perlu sediakan RM100,000 untuk merawat seorang pesakit, itu satu cabaran. Inilah situasi di mana kadangkala doktor perlu membuat pilihan.”
Bagaimanapun, katanya, 98% senario itu hospital mempunyai bekalan ubat mencukupi.
“Walaupun berdepan masalah, hanya 2% kes seperti kanser atau melibatkan ubat baharu dikenali sebagai ‘biologi’ yang inovatif, tetapi sangat mahal.”
Dr Subramaniam berkata, Kementerian Kewangan sentiasa bekerjasama dalam meningkatkan peruntukan apabila Kementerian Kesihatan berdepan cabaran.
“Mereka sentiasa memberi sokongan dengan menyediakan bajet tambahan kepada kami untuk terus bertahan.
“Kami sudah menghantar senarai keperluan kami untuk Bajet 2018 bagi menangani keperluan mendesak kami.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.