Wednesday, October 25, 2017

Menteri arah Miros siasat punca nahas bas P Pinang

Liow Tiong Lai berkata kementerian pengangkutan akan melihat cara mengetatkan penguatkuasaan undang-undang untuk pemandu bas kilang
liow-miros-3
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan Liow Tiong Lai mengarahkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) menyiasat punca nahas bas di Pulau Pinang yang meragut 8 nyawa semalam.
Menteri Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ada banyak perkara yang perlu disiasat untuk menentukan apa yang sebenarnya berlaku pada hari kejadian.
“Saya sudah mengarahkan Miros untuk menjalankan siasatan terperinci ke atas kemalangan itu. Saya masih belum terima laporan itu.
“Kami bersedih dengan kemalangan itu tapi kami perlu pastikan ia tidak berlaku lagi.”
Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media di Sidang Kemuncak Ekonomi Cina Dunia, yang akan berlangsung di Hong Kong bulan depan.
Liow berkata kementerian akan melihat cara mengetatkan penguatkuasaan undang-undang terhadpa pemandu bas kilang dan mengambil kira kemungkinan memperkenalkan ciri keselamatan seperti kotak hitam dan kamera.
“Kita perlu kaji perkara itu. Beberapa agensi mengemukakan cadangan itu sebelum ini.
“Kita sudah lakukan banyak penguatkuasaan, tetapi malangnya kemalangan masih berlaku.
“Kita perlu perhebatkan dan tingkatkan kempen keselamatan; serta meningkatkan penguatkuasaan dan pendidikan. Banyak perkara yang perlu dikaji.”
Liow berkata kejadian semalam merupakan kemalangan paling buruk membabitkan bas kilang. Kejadian itu berlaku pada 6.50 pagi di Km 147 Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan tol Juru, Seberang Perai. Lebih 40 pekerja kilang tercedera.
Bas kilang membawa pekerja ke kilang Plexus dilaporkan menghentam belakang sebuah bas yang membawa pekerja kilang Sony yang berhenti selama beberapa minit.
Ketua Polis Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bas yang terhenti itu mengalami kegagalan mekanikal dan berhenti di laluan kecemasan di lebuhraya itu sebelum kemalangan berlaku.
“Bas kedua bergerak terlalu laju ketika perlanggaran hingga menolak bas pertama ke laluan paling kanan dan melanggar pembahagi jalan di tengah-tengah lebuhraya,” kata Nik Ros.
NST Online melaporkan 2 pemandu bas kilang, berusia 23 dan 37, ditahan reman sehingga Jumaat untuk membantu siasatan.
Nik Ros dilaporkan berkata pemandu yang lebih muda itu memiliki 3 waran tangkap terhadapnya kerana memandu tanpa lesen, melanggar lampu isyarat dan tidak memakai tali pinggang keledar. Pemandu yang lebih tua tidak mempunyai kesalahan trafik sebelum ini. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.