Wednesday, October 25, 2017

Menteri nafi acara bertema Umno di sekolah bersifat politik

Mahdzir Khalid berkata acara anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dan Jabatan Pendidikan bertujuan melahirkan generasi peka sejarah.
DEWAN RAKYAT
mahdzir
KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan dakwaan mengatakan acara bertemakan Umno di sebuah sekolah di Putrajaya bersifat politik.
“Program yang dijalankan di SK Putrajaya Presint 14(1) merupakan program pertandingan anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang bertemakan kemerdekaan dan bukan berunsur politik,” jelas menteri.
Mahdzir menjelaskan perkara itu dalam jawapan bertulis kepada Teresa Kok (DAP-Seputeh).
Tambahnya, program pada 3 Oktober itu diadakan untuk melahirkan generasi yang peka tentang sejarah perjuangan kemerdekaan.
Sebelum ini, Kok meminta Mahdzir menjelaskan mengapa pemimpin Pakatan Harapan seperti Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dilarang memasuki sekolah kerajaan sedangkan sekolah di Putrajaya itu boleh mengadakan acara bertemakan Umno yang dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Kok juga menyoal apa tindakan yang diambil ke atas sekolah itu kerana mengadakan acara itu.
Mahdzir berkata, kementerian memastikan semua kakitangan perkhidmatan pendidikan memberi taat setia kepada raja, negara dan kerajaan pemerintah sebagaimana tercatat dalam Peraturan 4 (1) Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Beliau juga menambah, menurut satu pekeliling, semua kakitangan perkhidmatan pendidikan dilarang terlibat dalam aktiviti anti-kerajaan. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.