Tuesday, October 24, 2017

Shahul bersedia mohon maaf kepada bukan Islam, kata Wan Ji

wan-ji-shahul

PETALING JAYA: Seorang guru agama Pulau Pinang yang mengundang kontroversi selepas beberapa klip rakaman ceramah agamanya mengenai amalan harian umat Islam, berkata beliau akan lebih berhati-hati dalam berkongsi pandangannya mengenai perkara feqah, menurut pemimpin Pemuda PKR, Wan Ji Wan Hussin.
Wan Ji, yang juga pegawai penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata penceramah agama Shahul Hamid Seeni Muhammad turut bersedia memohon maaf daripada penganut bukan Islam berhubung beberapa ceramahnya yang mengundang kritikan orang ramai.
“Di akhir perbincangan kami, beliau menyatakan kesediaan untuk memohon maaf kepada masyarakat bukan Islam yang terguris hati dengan kandungan video tersebut,” kata Wan Ji menulis di Facebook mengenai pertemuannya dengan Shahul pada Ahad lalu.
Shahul yang merupakan pengetua sebuah madrasah di Bayan Lepas, dalam beberapa ceramah disampaikan antara 2015 dan bulan lalu, menegah umat Islam daripada mendapatkan khidmat gunting rambut di kedai bukan Islam, dan melarang ibu bapa Islam menghantar anak mereka ke sekolah Cina yang dikendalikan bukan Islam.
Beliau turut mempersoalkan ucapan hari jadi seperti “Happy Birthday” dan “Sannah Helwah”, menganggapnya budaya “jahiliyah”.
Dalam klip lain, Shahul yang pernah menjadi naib juara program realiti “Pencetus Ummah” terbitan Astro, turut berkata adalah haram untuk memain “game” di peralatan pintar di samping permainan popular lain seperti catur, dam ular tangga dan Monopoli.
Menurut Wan Ji, Shahul berkata pandangannya itu berdasarkan ajaran mazhab Syafie, sejajar dengan kemahuan pihak berkuasa supaya penceramah bertauliah mengajar agama berpandukan mazhab tersebut yang menjadi ikutan majoriti umat Islam di Malaysia.
“Beliau menyatakan bahawa pandangan yang melarang rambut perempuan Islam digunting oleh perempuan bukan Islam adalah merujuk kepada mazhab Syafie,” kata Wan Ji.
Wan Ji menambah, Shahul mendapat tauliah mengajar agama di bawah bekas mufti Pulau Pinang, Datuk Hasan Ahmad.
“Menurut beliau, mufti ketika itu berpesan agar mengajar mesti menggunakan mazhab Syafie. Justeru itu, beliau mengemukakan perkara ini dengan merujuk kepada mazhab Syafie.”
Wan Ji turut mengemukakan hujahnya sendiri menangkis pandangan seperti diutarakan Shahul.
“Beliau menerima pandangan tersebut dengan hati yang terbuka,” katanya.
“Beliau berjanji bahawa selepas ini akan lebih berhati-hati dalam menyatakan pandangan fiqh Islam semasa mengajar. Dan secara dasarnya, beliau mendokong pendekatan rahmat sekelian alam yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.”
Wan Ji dan exco berkait hal ehwal Islam, Datuk Abdul Malik Kassim, sebelum ini mempertahankan hak Shahul menyatakan pandangannya. Bagaimanapun, Malik mengubah pendiriannya dan berkata Shahul akan disiasat.
Klip video ceramah Shahul menjadi tular di sebalik kenyataan Majlis Raja-Raja baru-baru ini mengenai pandangan ekstrem agamawan yang boleh mengganggu keharmonian antara kaum.
Ia susulan kontroversi sebuah kedai dobi di Muar yang enggan berurusan dengan pelanggan bukan Islam atas alasan kebersihan.
“Imej Islam sebagai agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleran, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari oleh tindakan-tindakan yang bersifat keterlaluan dan memisahkan rakyat,” kata kenyataan raja Melayu pada 10 Oktober. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.