Saturday, August 31, 2019

Jangan Minta Sejarah 1998 Berulang Kembali

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Penyelaras Parlimen Jasin
2 September 1998 permulaan segala-galanya.
Pada saat itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Anwar juga turut dilucutkan jawatan sebagai Menteri Kewangan selepas 16 tahun empat bulan berada dalam Kabinet Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ia juga pencetus awal laungan ‘Hidup-hidup, hidup Anwar! Undur-undur, undur Mahathir!” yang dihiruk dalam demonstrasi jalanan protes pemecatan Timbalan Presiden UMNO pada masa itu.
Selepas lebih 20 tahun, pelbagai peristiwa jatuh bangun ikon Keadilan terjadi yang kini menanti jawapan bila masa untuk menggantikan kerusi Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Namun kini, suara-suara desakan mahu Dr Mahathir turun semakin kuat kedengaran dari NGO dan tokoh politik kerajaan.
Realitinya, Anwar sendiri sudah meminta semua pemimpin dan ahli partinya tidak membuat sebarang kenyataan yang bersifat mendesak Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Anwar sendiri mengakui, tiada perkara yang berubah dalam kepemimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya melibatkan dirinya menggantikan Dr Mahathir apabila tiba masanya kelak.
Oleh sebab itu, mana-mana pihak perlu bersabar menanti masa peralihan jawatan itu yang akan tiba bila sampai masanya.
Tunai amanah
Semua maklum, Dr Mahathir hari ini sedang memegang amanah besar dan berat untuk memimpin PH bagi membangunkan Malaysia baharu demi kesejahteraan masa depan rakyat.
Pastinya, pemilihan rakyat kepada PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu untuk memperbaiki kerosakan negara yang begitu teruk dikhianati oleh rejim kleptokrasi dan bukan berebut kuasa sesama PH.
Sejujurnya, kewujudan Anwar sebenarnya membawa masalah dalam politik negara. Kepetahannya bermain politik menjadi punca landskap politik huru-hara dan tidak pernah sunyi dari isu yang mengelirukan rakyat.
Situasi akan menjadi semakin tenat jika orang di sekeliling Anwar sendiri semakin biadab dan sengaja menimbulkan provokasi terutama menimbulkan isu peralihan kuasa.
Jadikan peristiwa hitam politik negara pada 1998 berulang. Jangan minta ia kembali menghantui usaha Dr Mahathir membetulkan negara.
Kebodohan pengikut yang tidak pernah ikhlas dalam perjuangan boleh menjadi punca kejatuhan seseorang pemimpin. Jangan impian Anwar hancur berkecai sebelum sempat menjawat kerusi Perdana Menteri
Ramuannya mudah, kurangkan hipokrasi dan hidup dalam penuh kepura-puraan. Lidah bercabang, muka pelbagai versi, hari ini cakap lain dan esok buat lain antara perkara yang menjatuhkan PH secara keseluruhannya, impaknya perlahan-lahan sehingga terlewat untuk menyesal di kemudian harinya.
Hipokrit 
Manusia hipokrit tidak harus dilantik sebagai pemimpin utama negara. Sekali diberi untuk memegang jawatan utama negara, kesemuanya akan jadi rosak dan memalukan.
Hakikatnya, kumpulan ini hanya gila kuasa dan bukan ada sebarang agenda mantap bagi membangunkan semula tanahair.
Golongan ini juga berpolitik hanya untuk mendapatkan kuasa semata-mata.
Namun, jangan gusar dengan manusia hipokrit kerana terlalu senang untuk diajar insan yang seperti ini. Dengan sekali ‘hembus’, dia mungkin jatuh rebah dan kemungkinannya tidak mampu untuk bangun lagi.
Kerana itu, bagus untuk Anwar membuat kenyataan tidak pernah bercadang untuk menyertai Kabinet bagi memberi ruang seluasnya kepada Dr Mahathir mengetuai barisan pemimpin negara sekarang.
Ia penting untuk memberi mesej yang sejelas-jelasnya kepada pengikutnya agar tidak mentohmah Dr Mahathir yang dikatakan sengaja tidak mahu melantik Anwar menganggotai Kabinet.
Lebih kronik ia dikatakan usaha mensabotaj Anwar daripada menjadi pengganti Perdana Menteri.
Perdana Menteri kelapan
Belum apa-apa lagi sudah ramai penyokong Anwar menggelarnya Perdana Menteri kelapan.
Ia bercanggah dengan pengakuan Anwar sendiri yang mengaku tidak pernah menawarkan diri menyertai Kabinet.
Mereka juga perlu terima pengakuan Anwar yang terikat dengan konsensus dan persefahaman dipersetujui PH untuk memberi ruang sepenuhnya kepada Dr Mahathir memimpin sehingga gilirannya tiba pada masa yang sesuai.
Anwar juga perlu ikhlas dan jangan bertindak berlainan dengan apa yang sudah diucapkannya. Anwar juga perlu membuka mata seluas-luasnya untuk memerhati sikap penyokonya sendiri dalam menghadapi isu bakal perdana menteri ini.
Keikhlasan Anwar juga dituntut dalam segenap perlakuan serta kata-kata yang dituturkan selain tidak menjadi lidah bercabang serta muka pelbagai versi dan warna.
Perlu diingat, dalam berpolitik, jangan sama sekali amal sikap baling batu sembunyi tangan.
* Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan adalah Penyelaras Parlimen Jasin.

1 comment:

  1. Mamat ni MP pun bukan..Terpaksa lah letak sendiri jawatan Penyelaras Parlimen.Entah apa fungsi nya..hanya dia yang tahu.Orang2 Jasin pun tak ambik pusing.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.