KUALA BERANG: Banjir yang melanda Hulu Terengganu di sini disifatkan sebagai yang paling serius berlaku di daerah itu berikutan beberapa kawasan terjejas sebelum ini tidak pernah dinaiki air.
Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa berkata pihaknya telah mengenal pasti lima zon bencana banjir besar melibatkan 25 kampung di daerah berkenaan.
“Di kawasan Jalan Sekayu selama ini tak pernah banjir, ini kali pertama banjir dan situasinya agak serius sebab paras air sampai ke bumbung rumah penduduk kampung.
Sebanyak 14 jalan utama terputus hubungan dan hanya boleh lalu menggunakan bot termasuk ke Empangan Kenyir,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu di sini, hari ini.
Katanya setakat ini sebanyak 1,432 penduduk telah berjaya dipindahkan dan sebanyak 21 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah itu.
Rohaimi berkata pihaknya telah melakukan persiapan rapi dan mempunyai kekuatan anggota mencukupi setakat ini dengan dibantu pelbagai agensi termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).
Sementara itu katanya bagi Daerah Besut dan Kemaman, situasi banjir masih dalam trend menaik dan dijangka berlaku pertambahan penduduk yang dipindahkan ke PPS.
“Kuala Nerus dan Marang masih bertahan, di Dungun balai polis sendiri tenggelam tapi anggota dan ahli keluarga sudah diselamatkan,” katanya.
Ditanya mengenai proses penghantaran bantuan bekalan makanan untuk kawasan-kawasan terjejas, beliau berkata urusan itu setakat ini berjalan lancar.
Beliau juga menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan banjir besar yang melanda Hulu Terengganu adalah disebabkan oleh air yang dilepaskan dari Empangan Kenyir dekat sini.
Katanya setakat ini paras air di empangan berkenaan terkawal dan masih berada di bawah tahap melimpah.
“Saya ingin tegaskan apa yang ditularkan dan digembar-gemburkan kononnya apa yang berlaku di Hulu Terengganu akibat pembukaan atau pelepasan air dari empangan tidak benar sama sekali,” katanya dan mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan apa yang sengaja ditularkan, sebaliknya diminta untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.