Friday, November 1, 2024

RM50 juta untuk PLKN 3.0 tak membazir, persatuan belia tolak gesaan Ahli Parlimen

 

Free Malaysia Today
PLKN diperkenalkan pada 2004 sebelum ditangguhkan pada 2015 dan dimansuhkan terus tiga tahun selepas itu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA
Majlis Belia Malaysia (MBM) menolak gesaan Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui supaya kerajaan menilai semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 kerana mendakwanya membazir.

Presiden Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata perbelanjaan RM50 juta bukan membazir kerana ‘dilabur’ untuk membangunkan modal insan yang kepentingannya sama seperti pendidikan dan kesihatan.

“Kesan pembangunan modal insan mungkin tidak dapat dilihat hasilnya dalam masa terdekat tetapi pada masa depan.

“Bahkan saya rasakan peruntukan RM50 juta itu sedikit dibandingkan kos sepatutnya dikeluarkan untuk melaksanakan PLKN secara menyeluruh,” katanya kepada FMT.

Selasa lalu, Chow dalam perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat membantah dan meminta kerajaan menilai semula pelaksanaan PLKN yang akan dihidupkan semula Januari tahun depan.

Wakil rakyat DAP itu berkata perbelanjaan itu sepatutnya disalurkan untuk sektor pendidikan dan kesihatan atau kepada program berimpak tinggi untuk belia seperti Rakan Muda.

Untuk rekod, PLKN diperkenalkan 20 tahun lalu membabitkan pemilihan rawak belia berumur 18 tahun untuk mengikuti latihan termasuk berkait ala ketenteraan.

Program itu kemudiannya ditangguhkan pada 2015 dan diperkenalkan semula setahun kemudian dengan anggaran pelaksanaan penuh pada 2019. Bagaimanapun, program itu dimansuhkan pada 2018.

Izzat berkata isu pernah dikaitkan PLKN sebelum ini seharusnya tidak berberbangkit susulan tambah baik dibuat dapat mewujudkan pentadbiran lebih telus.

“PLKN ini dijalankan di kem tentera bukan lagi kem milik perseorangan atau mana-mana syarikat luar,” katanya.

Turut senada dengannya aktivis belia Mohd Imran Tamrin yang menegaskan isu peruntukan tidak seharusnya berbangkit dalam usaha memupuk perpaduan serta melahirkan masyarakat berketahanan diri serta berdisiplin.

“Ada beberapa perkara boleh ditambah baik dan pihak kerajaan telah meneliti semuanya.

“Peruntukan RM50 juta untuk PLKN 3.0 juga wajar, dibandingkan kos sebelum ini yang menelan ratusan juta,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.