Saturday, February 14, 2026

2 rentung dalam nahas di Temerloh

 Kemalangan melibatkan sebuah Proton Preve dan Porsche Cayenne dalam kejadian kira-kira 12.57 tengah malam tadi.

preve kemalangan
Keadaan Proton Preve yang terbakar selepas terlibat dalam nahas dengan sebuah Porsche Cayenne di Taman Tualang Indah, Temerloh hingga mengorbankan dua nyawa. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
 Dua rentung selepas kereta dinaiki mereka terbakar dalam nahas dua kenderaan di Temerloh, kira-kira 12.57 tengah malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya menghantar sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab bersama unit Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

Katanya, bomba tiba kira-kira sembilan minit selepas menerima panggilan terbabit.

“Kemalangan melibatkan sebuah Proton Preve dan Porsche Cayenne. Proton Preve terbakar sepenuhnya menyebabkan dua mangsa ditemukan rentung dalam kenderaan itu.

“Porsche Cayenne tidak terbakar, namun pemandunya dipercayai melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.


Identiti kedua-dua mangsa masih belum dikenal pasti setakat ini.

Zulfadli berkata, seorang penumpang lelaki dewasa yang berada dalam Porsche Cayenne mengalami kecederaan dan menerima rawatan daripada petugas kesihatan.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula daripada tangki jentera sebelum api dipadamkan sepenuhnya.

“Anggota kemudian menggunakan peralatan hidraulik untuk memotong struktur kenderaan bagi mengeluarkan mangsa.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.