Tuesday, February 3, 2026

Bertindih dan bertindan

Siapa sebenarnya lebih berkuasa dalam PAS? Jawatankuasa Kerja atau Majlis Syura? Presiden atau mursyidul am?

Mohsin Abdullah

Sejarah PAS memang panjang dan menarik. Namun dalam konteks penulisan ini, saya petik bab yang menyatakan semasa Asri Muda menduduki jawatan presiden, Allahyarham secara ideologinya membawa PAS ke arah sebuah parti nasionalisme kanan.

Allahyarham juga membawa PAS menyertai Barisan Nasional pada 1973. Memendekkan cerita yang Panjang, PAS dipecat sebagai komponen BN pada 1977 berikutan krisis politik Kelantan.

PAS mengambil masa agak lama menyusun semula perjuangannya. Ketika Yusof Rawa mengambil alih jawatan presiden pada 1982, PAS menjenamakannya di bawah slogan ‘kepimpinan ulama’. Dikatakan mendapat inspirasi revolusi Islam dan bertekad mewujudkan negara Islam di Malaysia.

Ringkasnya, pada sudut kepimpinan, PAS telah melalui era kepimpinan ulama tradisional, kepimpinan nasionalis kiri juga kanan dan kepimpinan ulama haraki yakni dari 1982 hingga sekarang.

Meskipun hasrat dirikan negara Islam dan melaksana hudud sudah tidak kedengaran (secara lantang dan terbuka?) sejak beberapa tahun lalu, PAS mahu dikenali sebagai parti yang dipimpin ulama. Sewajarnya, jika diambil kira sejarah penubuhannya. Dan diakui PAS memang dipimpin para agamawan yang digelar atau mereka gelar ‘ulama’.

Namun untuk sekian lama, struktur organisasinya menunjuk atau menggambarkan seakan ada yang bertindih dan bertindan serta berlapis.

PAS ada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, badan tertinggi yang menggubal dasar dan memimpin parti. Seperti namanya, tentulah jawatankuasa itu dianggotai pemimpin tertinggi yakni presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden, setiausaha agung dan sebilangan anggota jawatankuasa yang dipilih menerusi pemilihan parti.

Bagaimanapun PAS ada juga apa yang dipanggil Dewan Harian yang dirujuk juga sebagai Jawatankuasa Harian. Ia pelaksana operasi harian, mengurus tindakan segera dan, ini menarik, menyelaras keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang lebih tinggi kedudukannya.

Menarik ia juga dianggotai presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden, setiausaha agung, juga bendahari dan ketua penerangan. Maknanya, pemimpin sama yang duduk dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Saya kata menarik kerana mereka menyelaras keputusan yang mereka sendiri buat selaku anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Diakui bilangan anggota jawatankuasa yang tertinggi lebih besar.

Memang di atas kertas, bidang tugas dan tanggungjawab diagih dan dibahagikan. Tetapi secara praktikal bagaimana? Siapa lebih ‘powerful’? Bagi saya, Jawatankuasa Harian nampak lebih tinggi daripada jawatankuasa tertinggi berdasarkan keanggotaan.

Benar ‘top leadership’ ada di kedua-dua jawatankuasa. Namun dalam Jawatankuasa Harian, ‘top leaders’ hadir tanpa anggota ‘biasa’ yang duduk dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diiktiraf lebih tinggi. Lalu badan mana yang buat dasar sebenarnya?

PAS ada juga Dewan Ulama. Dari namanya saja kita tahu siapa para anggotanya. Dewan itu ada ketua ulama. Tentulah seorang ulama hebat. Tetapi PAS ada juga Majlis Syura yang juga dianggotai ulama.

Dan diketuai mursyidul am yang juga seorang ulama hebat. Apa peranan Dewan Ulama, apa peranan Majlis Syura? Apa bidang kuasa masing-masing? Saya tanya (kepada diri sendiri) kerana kedua-duanya badan ulama.

Perlu ditegaskan pula meskipun Jawatankuasa Kerja PAS Pusat secara ‘constitutional’ adalah badan pembuat keputusan utama parti, keputusannya rentan untuk dibatalkan oleh Majlis Syura.

Lalu saya bertanya (sekali lagi kepada diri sendiri), siapa lebih berkuasa? Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atau Majlis Syura? Presiden atau mursyidul am? Jika ikut slogan kepimpinan ulama, bukankah wajar PAS dipimpin mursyidul am? Namun presiden parti juga, kata PAS, seorang ulama. Jadi macam mana?

Setahu saya, semasa Nik Aziz Nik Mat menjadi mursyidul am dan Fadzil Noor pegang jawatan presiden, semuanya baik baik belaka. Kedua-dua Allahyarham bersefahaman dan saling menghormati. Lantas ‘the formula worked’. Pun begitu, formula kepimpinan itu berjaya kerana berdasarkan personaliti.

Pada hemat saya, wajar PAS dikemudi oleh hanya seorang pemimpin yang punya ‘the final say’. Bak kata simpulan bahasa Cina, dua harimau tidak boleh kongsi satu gunung.

Lalu pada pandangan saya, adalah afdal PAS dipimpin mursyidul am kerana Majlis Syura yang diketuainya ialah badan yang dilihat lebih berkuasa daripada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang pemimpin nombor wahidnya ialah presiden parti. Ditegaskan saya tidak merujuk mana-mana pemimpin atau individu tertentu. Saya bercakap secara am.

Diulangi sesuai dengan slogan kepimpinan ulama kemahuan PAS. Dan untuk elak tindih tindan dan lapis. Untuk memastikan pemimpin mutlak yang dipilih tidak berperangai mutlak, PAS boleh adakan mekanisme khas bagi menentukan tidak elemen autoritatif. Dalam erti kata lain kepimpinan kuku besi.

Namun ini hanya pendapat saya — orang luar parti. Pasti orang PAS boleh saja berkata kepada saya “kau apa tahu? Nak kacau struktur parti kami konon”. Tak apalah, kita boleh setuju untuk tidak setuju. - FMT

Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.