Thursday, February 12, 2026

Dakwaan intimidasi korporat, C4 desak pegawai SPRM digantung

 Kumpulan antirasuah itu mahu butiran operasi ‘Seksyen D’ SPRM didedahkan kepada umum.

sprm macc
Laporan Bloomberg mendakwa pegawai SPRM bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam skim menyasarkan syarikat untuk diambil alih. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
 Sebuah kumpulan antirasuah menuntut semua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa terlibat dalam pakatan dengan ahli perniagaan bagi menyasarkan syarikat untuk diambil alih digantung tugas serta-merta.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata pihaknya ‘amat terkejut’ dengan dakwaan dalam satu laporan Bloomberg yang mendakwa kewujudan rangkaian longgar ahli perniagaan membeli saham syarikat tempatan sebelum mengugut pihak pengurusan, dengan bantuan pegawai SPRM, bagi memaksa mereka berundur.

Laporan Bloomberg itu mendakwa taktik intimidasi berkenaan melibatkan pegawai SPRM yang menyiasat eksekutif syarikat sasaran, selain menyenaraikan beberapa bentuk ‘perkhidmatan’ intimidasi yang didakwa dijalankan Seksyen D SPRM.

Ia mendakwa unit terbabit bertanggungjawab menyiasat syarikat tersenarai, rasuah berkaitan pasaran dan dagangan orang dalam.

Antara ‘perkhidmatan’ didakwa termasuk serbuan ke atas pejabat syarikat, tekanan ke atas eksekutif supaya menjual saham, malah mencadangkan pertuduhan kepada pendakwa raya. Setiap perkhidmatan itu dikatakan mempunyai harga tertentu, dengan ada yang mencecah jutaan ringgit.

Laporan itu turut mendakwa penglibatan SPRM dalam skim berkenaan bukan terhad kepada pegawai bawahan, sebaliknya melibatkan pihak atasan dalam suruhanjaya itu.

“Semua pegawai SPRM terbabit perlu digantung tugas serta-merta sehingga siasatan bebas selesai, dan butiran operasi Seksyen D perlu didedahkan secara telus kepada umum,” kata C4 dalam kenyataan.

“Kami mendesak kerajaan mengambil tindakan segera untuk menyiasat dapatan ini dan melaksanakan pembaharuan terhadap SPRM.”

C4 berkata dakwaan itu membimbangkan memandangkan ia membabitkan penyalahgunaan secara langsung kuasa penguatkuasaan luas yang dimiliki SPRM.

Menurut kumpulan itu, SPRM mempunyai kuasa besar termasuk memulakan siasatan, memanggil dan memeriksa saksi, menjalankan serbuan dan penggeledahan — dalam keadaan tertentu tanpa waran — menyita aset, serta menangkap individu yang disyaki melakukan kesalahan.

C4 turut menyatakan pegawai SPRM boleh menahan dan menyoal siasat suspek untuk tempoh panjang, selain mencadangkan pendakwaan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Sebuah agensi yang mempunyai kuasa untuk menyerbu pejabat, membekukan aset dan mencadangkan pertuduhan jenayah adalah amat berbahaya tanpa mekanisme semak dan imbang yang berkesan,” katanya.

“Kuasa sedemikian berisiko dijadikan senjata, sama ada untuk kepentingan politik atau keuntungan peribadi. Kuasa yang begitu luas menuntut perlindungan dan kawalan yang sama kukuh.

“Dalam konteks ini, tuntutan pembaharuan bukan sekadar untuk melindungi kebebasan SPRM, tetapi bagi memastikan wujud rangka kerja akauntabiliti yang berkesan.”

Bloomberg melaporkan SPRM dan bekas ketua Seksyen D, Wong Yun Fui, tidak menjawab pertanyaan berkaitan unit berkenaan.

SPRM dalam kenyataan menafikan bahawa siasatannya dipengaruhi kepentingan peribadi, sambil menyifatkan dakwaan dalam laporan Bloomberg itu sebagai tidak berasas.

SPRM berkata semua siasatan dijalankan mengikut undang-undang, berpandukan bukti, serta dilaksanakan secara bebas tanpa takut atau pilih kasih.

Suruhanjaya itu turut menegaskan keputusan pendakwaan adalah di bawah bidang kuasa AGC dan mahkamah, selaras dengan prinsip pengasingan kuasa. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.