Filem pendek itu dilancarkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, sebagai usaha berterusan memupuk semangat perpaduan nasional.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata karya iu mengangkat nilai kasih sayang, kehilangan, dan makna sebenar keluarga dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.
Filem itu mengisahkan perjalanan emosi seorang pemandu teksi warga emas, Uncle Lim, yang hidup dalam kekosongan selepas kehilangan isteri dan anak akibat terlalu sibuk bekerja.
Dalam kesunyian menjelang perayaan, takdir mempertemukannya dengan pelbagai wajah Malaysia yang akhirnya membuka kembali pintu hatinya terhadap erti kasih dan kebersamaan.
Teras kekuatan penceritaan filem ini terserlah melalui lakonan penuh jiwa oleh Lee Kah Chun atau Abdul Rahman Lee, yang membawakan watak Kai, seorang bapa penyayang dari Sabah.
Turut menguatkan naratif ialah watak Jia, isteri kepada Kai yang berasal dari Sarawak, dilakonkan dengan penuh kelembutan dan keikhlasan oleh Carolyn.
Jia melambangkan wanita Malaysia yang menjadi tunjang keharmonian, menghubungkan nilai tradisi dan semangat kebersamaan merentas wilayah dari Sarawak ke Semenanjung.
Sepanjang perjalanan teksi itu, “Pulang” memaparkan kepelbagaian masyarakat termasuk seorang penumpang lelaki India yang memberikan sapaan mesra.
Keunikan perpaduan turut dizahirkan melalui watak wanita Melayu yang fasih bertutur dalam bahasa Mandarin, sekali gus meruntuhkan sempadan kaum melalui kefahaman budaya.
Babak paling menyentuh hati memaparkan penyesalan Uncle Lim terhadap panggilan terlepas daripada anaknya, menggambarkan kehilangan yang tidak mungkin ditebus.
Namun, kehadiran Jun, anak kecil Kai dan Jia yang menghulurkan sebiji limau, menjadi titik pulang emosi bahawa kasih sesama manusia mampu menyinari kehidupan yang suram.
KPN menegaskan bahawa perpaduan tidak hanya terjalin melalui dasar, tetapi melalui empati, bahasa yang dikongsi, serta keberanian untuk membuka pintu hati.
“Naskhah ‘Pulang’ bukan sekadar filem perayaan, tetapi cerminan realiti masyarakat majmuk Malaysia – bahawa dalam kepelbagaian budaya, bahasa dan latar belakang, kita tetap berkongsi nilai yang sama: keluarga, kasih dan harapan,” katanya.
Filem pendek ini boleh di tonton melalui media sosial @aaronagodagang dan Kementerian Perpaduan Negara. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.