Tuesday, February 3, 2026

Mak aku gila

Selama ini kita selalu dengar tentang orang gila, orang jahat. Kita ada baca tentang narsistik. Hari ini tiba-tiba ia depan mata kita.

ronasina

Beberapa hari lalu saya bertembung dengan seorang kawan lama di sebuah kafe. Kerana kesempatan untuk selalu bertemu amat susah, kami pun ambil peluang duduk minum semeja sambil bertanya khabar dan bertukar cerita. Rupa-rupanya kondisi mental dia tak berapa baik. Saya terkejut kerana lelaki ‘macho’ berbadan sado sepertinya tiba-tiba menekup muka dan menangis tersedu-sedu. Mak ai! Mata saya melilau keliling risau juga kalau ada orang memerhati dan syak kami yang bukan-bukan.

Cerita dia, buat masa ini dia menjaga emaknya yang sudah tua. Dia mengalami kejutan mental yang kuat apabila mendapati perangai emaknya pelik dan cukup mencabar kesabaran. Dia dibuli, dikawal dan diperintah sewenang-wenang oleh emaknya. Pada awalnya dia boleh tahan sebab menganggap itu kerenah biasa orang tua yang mengalami kesedihan akibat kehilangan pasangan tetapi lama-kelamaan dia berasa tertekan dengan sikap mengada-ngada emaknya. Emaknya semakin hari semakin ‘naik hantu’ dan menggila.

“Dia nak aku sentiasa ada depan mata. Dia tak peduli aku kena kerja atau tidak. Sekejap-kejap dia panggil aku minta itu dan minta ini. Dia tak peduli aku ada isteri dan anak yang perlu aku jaga. Dia tak ada empati bila isteri aku sakit atau anak aku ada kegiatan di sekolah. Dia mahu aku duduk depan dia sepanjang masa melayan dia.” Cerita kawan saya dengan hidung yang merah berair. Saya mengeluh berat.

“Kalau aku layan dia, apa kerja pun tak boleh dibuat. Kalau aku beri alasan, dia guna kad keramat seorang ibu iaitu jangan jadi anak derhaka. Disumpah-seranahnya aku. Aku mati akal!”

Biar betul! Tapi sebelum ini pernah juga saya dengar sungutan beberapa orang kawan perihal yang sama apabila menjaga ibu atau ibu mertua. Maki hamun dari mulut mereka memang mainan. Tapi saya tak pernah menyangka ia sesuatu yang terlalu serius. Peliknya, karektor kebanyakan ibu ini hampir sama meskipun ada antaranya adalah golongan profesional dan berkerjaya baik sebelum pencen. Kalau sekolah tak tinggi kita tak pelik! Tetapi kes kawan saya ini lebih kronik.

Kawan saya menyambung lagi, “aku ada tanya doktor tentang apakah ada penyakit seperti yang berlaku kepada mak aku ini. Sebab dia tak nyanyuk atau lupa. Dia ingat semuanya.”

“Dia nakkan perhatian?” saya bertanya.

“Ya. Aku terkejut juga bila kawan aku beritahu ciri-ciri itu, walaupun dia belum lakukan ujian diagnos, tetapi mirip kepada NPD atau Narcissistic Personality Disorder.” Kata kawan saya.

Kawan saya pun menyuruh saya google NPD. Saya menurut dan membaca. NPD bolehlah dikatakan satu gangguan personaliti seseorang. Dia mahukan perhatian dipusatkan kepadanya. Dia berasa dia lebih penting dan berhak dilayan istimewa. Paling teruk, dia langsung tiada empati dan peduli terhadap orang lain. Antara punca boleh berlaku begitu mungkin seseorang itu mengalami trauma zaman silamnya atau didikan sewaktu kecilnya. Mungkin masa kecilnya yang manis telah terganggu dengan beberapa hal dan apabila melangkah dewasa, perjalanan hidupnya juga tidak seperti apa yang dia mahukan.

“Sebenarnya ada banyak sebab lagi. Dia seorang yang manipulatif dan mengawal. Kita tegur baik-baik dia tak boleh terima apatah lagi kalau kita berkeras. Sifat narsistik memang tak boleh terima teguran. Adik-beradik aku semua ‘stress’ dengan mak.” terang kawan saya panjang lebar.

“Kalau tak sabar, memang aku hantar ke pusat jagaan dah. Tapi apa orang akan kata? Dan sekarang aku boleh faham kenapa orang hantar mak mereka ke rumah orang tua.”

“Aku semakin benci dengan istilah ‘anak derhaka’ dalam masyarakat kita. Aku rasa tak adil,” kata kawan saya sambil melepaskan keluhan berat. Katanya, buat masa ini dia lega sedikit kerana sekarang ini giliran abangnya menjaga. Minggu hadapan giliran dia akan sampai semula. “Adik-beradik aku semuanya melayan mak dengan baik tapi tetap dia maki dan sumpah kami. Dia buat perangai memekik macam orang gila. Malu kalau didengar dek jiran. Kami nak buat baik macamana lagi?”

“Dan jangan ada sesiapa pun konon nak nasihat aku. Buruk-buruk pun itu emak engkau. Kau kena jaga. Tak payah ingatkan aku macam tu. Kau ingat kami anak-anak tak ada hati-perut? Sebab ada kemanusiaan, ada imanlah emak masih ada dengan kami gilir-gilir. Cakap memang mudah!” getus dia seolah-olah sedang melepas geram seperti memang ada orang pernah mengata dirinya.

“Aku tak tahu nak cakap apa, Bob. Nak suruh bersabar, kau lebih faham.” Pujuk saya. Saya tahu tersalah nak nasihat akan lebih mengguris perasaan. Saya tak mahu menjadi toksik positif.

“Selama ini kita selalu dengar tentang orang gila, orang jahat. Kita ada baca tentang narsistik. Hari ini tiba-tiba ia depan mata engkau. Yang jahat, yang gila, yang mendera mental kau itu ialah mak engkau sendiri. Macam mana, Ron? Tak sakitkah kenyataan nak kau terima? Bagaimana engkau nak tutup sifatnya depan anak-isteri engkau?” Bob memulangkan soalan kepada saya.

“Aku selalu baca di medsos orang menulis betapa bahagianya dapat berbakti buat pahala menjaga mak yang tua. Aku terbalik, Ron! Hari-hari aku dapat dosa. Aku ada mendengar orang berkata betapa hebatnya seorang ibu yang mampu menjaga sepuluh anak tetapi sepuluh anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu. Tetapi, bagaimana kalau seorang ibu itu memandu kita menjadi tak baik? Bagaimana kalau dia sengaja suka merosakkan keadaan?”

“Kalau aku seorang berfikiran begitu, aku mungkin boleh kata akulah yang tak betul. Ini, semua adik-beradik aku. Anak-isteri aku, anak-isteri adik-beradik aku semua nampak betapa teruknya kelakuan mak.”

Barangkali drama TV yang selalu kita tonton itu memang banyak berlaku. Kisah mak-mak menghasut dan mengganggu rumahtangga anak menantu. Apa sebenarnya yang tak kena pada diri seseorang ‘mak’ apabila berasa anak-anaknya mengabaikannya walhal tidak. Mengapa susah mereka nak faham bahawa anak-anak mereka banyak komitmen lain juga? Sepatutnya bersyukurlah kerana di celah-celah itu, anak-anak masih terus menjaga keperluan seorang ibu dengan sebaiknya.

Aku tahu sebuah hadis nabi tentang siapakah yang paling harus kita hormati, kata kawan saya. Nabi menjawab tiga kali – ibumu, ibumu, ibumu dan kemudian barulah bapamu. Apakah maksud nabi itu merujuk kepada ibu-ibu yang baik sahaja? Bagaimana dengan ibu yang tak baik? Takkanlah nabi tak tahu ada ibu yang tak baik?

Bagaimanapun, aku mengandaikan yang memang nabi maksudkan agar menghormati semua ibu termasuklah ibu yang tak baik ini juga sebab ini adalah untuk kebaikan peribadi kita sendiri dengan tuhan, bukan dengan ibu tersebut. Antara ibu dengan tuhan, itu hal ‘mereka’. Aku agaklah, katanya lagi. Jadi, aku beritahu adik-beradik aku, walau teruk pun, ini kita anggaplah ibadah kepada tuhan.

Saya lihat nada dia mengendur sedikit. Sekurang-kurangnya dengan meluahkan segala yang terbuku di hati kepada seseorang dapat meredakan sedikit bebanan.

“Yang aku boleh legakan sikit perasaan aku ialah aku sifatkan ini seperti pusingan terakhirlah untuk aku dan adik-beradik aku berbakti kepada mak selagi dia masih hidup. Itu sajalah ubat penawar untuk sejukkan sedikit hati. Kalau menurut nafsu, hancur dah hati kami semua. Memang kami semua berdoa adalah lebih baik dia ‘pergi’ cepat.” katanya lagi dengan perlahan.

“Maksudnya, dia senang – kami pun senang. Salahkah anak berdoa macam itu kepada emaknya, Ron?” tanya Bob. Kelopak matanya terus bergenang.

Saya tak mampu mencari perkataan yang baik untuk menenangkan. Saya kenal Bob. Dia anak yang baik. Harap Bob kekal tabah. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.