Ketua Pemuda Johor Noor Azleen Ambros berkata keahlian besar tidak mampu jadikan parti bertahan.

Ketua Pemuda Johor, Noor Azleen Ambros, berkata apa disebut Presiden Zahid Hamidi berkait potensi Umno ‘tutup kedai’ perlu dijadikan pemangkin perubahan.
Katanya, sejarah kejayaan lampau selain jumlah keahlian besar tidak mampu menjadikan Umno bertahan dalam landskap politik semasa.
“Umno mesti berubah daripada parti berasaskan keahlian kepada gerakan berasaskan sokongan. Keahlian semata-mata tidak menjamin kemenangan jika parti gagal menawan hati dan pemikiran rakyat,” katanya kepada FMT.
Ahad lalu, Zahid menyuarakan kebimbangan partinya berdepan risiko ‘tutup kedai’ dalam tempoh 20 tahun akan datang, sekiranya corak sokongan rakyat kekal seperti berlaku pada PRU lalu.
Beliau berkata, ahli Umno khususnya barisan pelapis perlu mencipta sesuatu yang luar biasa untuk menangkis persepsi dan prasangka negatif terhadap parti. Katanya, disebabkan persepsi dan prasangka negatif, pengundi baharu yang pada mulanya berhasrat mengenali Umno akan menjauhkan diri.
Mengulas lanjut, Azleen menegaskan Umno perlu meninggalkan politik nostalgia dan menumpukan usaha menawan pemikiran pengundi muda yang semakin matang, kritikal, dan kompleks.
Katanya, kebangkitan semula Umno hanya boleh dicapai jika parti itu benar-benar menjawab harapan rakyat terhadap isu teras seperti ekonomi, peluang pekerjaan, perumahan, kos sara hidup, dan pendidikan.
Dalam masa sama, beliau menekankan keperluan Umno untuk kembali ke akar umbi dan bersama rakyat.
“Umno mesti turun ke bawah, mendengar keluhan rakyat, merasai tekanan hidup yang mereka hadapi dan membuktikan parti ini masih relevan, prihatin serta mampu memimpin perubahan.
“Yang paling penting, Umno mesti dilihat benar-benar bersama rakyat, merasai denyut nadi mereka, memahami kesakitan yang dilalui dan berdiri sebaris dalam menghadapi cabaran kehidupan harian.”
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Nurul Amal Mohd Fauzi akui partinya kini sedang melalui fasa pemulihan selepas diuji sejak 2018 apabila ditolak rakyat sehingga kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang, pada PRU14.
Beliau berkata, untuk Umno bangkit semula dan kuat seperti dulu, parti itu memerlukan sokongan rakyat khususnya kaum Melayu.
“Walau apa pun dakwaan dilemparkan kepada Umno, saya rasa rakyat boleh menilai pemerintahan siapa yang terbaik.
“Semua parti di dalam negara hari ini, pernah diberikan peluang untuk memimpin dan merasa menerajui negara. Apa yang penting adalah kita kena sama memaju negara ke arah yang lebih baik,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.