Tuesday, February 17, 2026

Rafizi jawab tuduhan berkisar Visi Silikon, NETR

 Bekas menteri Rafizi Ramli kata dua dasar utama kerajaan itu telah melalui pelbagai proses kelulusan peringkat kerajaan.

Rafizi Ramli
Bekas menteri Rafizi Ramli kata beliau mengalu-alukan siasatan oleh mana-mana pihak susulan tuduhan berkisar Visi Silikon dan NETR.
PETALING JAYA:
 Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli menjawab tuduhan terhadap beliau semasa di Kementerian Ekonomi, berkisar dua dasar utama kerajaan iaitu Program Visi Silikon dan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Rafizi menegaskan kedua-dua dasar utama kerajaan itu telah melalui pelbagai proses kelulusan peringkat kerajaan — daripada jawatankuasa kerja, ke majlis-majlis Jemaah Menteri hingga keputusan Jemaah Menteri.

Visi Silikon dilancarkan pada Mac 2025, manakala NETR dilancarkan pada Ogos 2023.

“Saya mengalu-alukan siasatan oleh mana-mana pihak kerana saya tahu tiada salah laku berlaku di peringkat saya atau Kementerian Ekonomi,” menurut kenyataan.

Perkembangan ini menyusuli laporan media semalam, bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.

Siasatan dibuat susulan beberapa aduan yang dikemukakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian itu dibuat secara tergesa-gesa dan berat sebelah, sehingga dijangka memberi implikasi kepada kerajaan.

Berkenaan Visi Silikon, Rafizi berkata Kementerian Ekonomi bukan kementerian pelaksana tetapi kementerian yang merancang dan tidak ada kuasa untuk mengendalikan perolehan atau kontrak.

Menurutnya, kerjasama dengan ARM, iaitu sebuah syarikat berpangkalan di United Kingdom), adalah bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) dan ditandatangani oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), manakala sebarang pembayaran diproses oleh Mida dan ditapis atau diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Katanya lagi, draf perjanjian disemak terlebih dahulu dan diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dibawa dan diluluskan oleh Jemaah Menteri.

“Tuduhan bahawa perjanjian itu dibuat secara tergesa-gesa dan terburu-buru adalah tidak masuk akal kerana Jemaah Menteri itu dipengerusikan oleh perdana menteri,” katanya.

Berkenaan NETR pula, Rafizi berkata ia tidak melibatkan dana awam untuk membina projek-projek, ia bukan melibatkan perolehan dan Kementerian Ekonomi tidak mengendalikan perolehan.

Beliau menerangkan bahawa salah satu dasar bawah NETR ialah membenarkan pihak swasta membangunkan projek tenaga boleh baharu untuk membekalkan terus tenaga hijau kepada industri tanpa melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan hasilnya syarikat-syarikat besar mula melabur untuk membangunkan projek tenaga boleh baharu berskala besar.

Menurutnya, projek tersebut adalah inisiatif pihak swasta sepenuhnya dan tidak melibatkan keputusan Kementerian Ekonomi mahu pun keputusan kerajaan, apatah lagi sebarang bentuk perolehan kerajaan.

“Fakta-fakta yang saya kongsi setakat ini jelas menunjukkan bahawa saya atau Kementerian Ekonomi tidak ada kuasa atau terbabit dalam apa-apa urusan komersial syarikat swasta,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata fakta-fakta lebih mendalam akan beliau bentangkan kelak, dan memberi peluang kepada seorang pempengaruh yang didakwa memfitnah beliau untuk menyiarkan fakta-fakta itu dan seterusnya meminta maaf.

Rafizi berkata beliau mengarahkan peguam untuk memulakan tindakan saman terhadap pempengaruh itu, sekiranya dia gagal berbuat demikian setelah diberi peluang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.