Thursday, February 12, 2026

Siapa gandingan Muhyiddin pandu Bersatu ke Putrajaya?

 Persoalan itu timbul dengan kemungkinan pemecatan Hamzah Zainudin yang dihadapkan ke Lembaga Disiplin Bersatu.

Muhyiddin Yassin-Bersatu

Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin sepatutnya menghadap lembaga disiplin hari ini untuk menjawab aduan mendakwa beliau cuba mensabotaj Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) September tahun lalu dan dalang di balik serangan terhadap Presiden Muhyiddin Yassin.

Namun, ketua pembangkang telah memaklumkan kepada lembaga terbabit yang beliau tidak dapat menghadiri sesi diatur di ibu pejabat Bersatu kerana berada di Sydney, Australia, untuk membantu anak perempuannya mendaftar di universiti.

Jika beliau tidak hadir, ini kali kedua Ahli Parlimen Larut itu ‘gagal’ mematuhi notis panggilan lembaga disiplin.

Melihat kepada kenyataan dikeluarkan daripada kem tertentu dalam Bersatu, sesi itu mungkin hanya formaliti atau cuba mengabsahkan tindakan disiplin terhadap Hamzah.

Ada mendesaknya dipecat selain memintanya berundur. Namun, Hamzah setakat ini belum memberi sebarang maklum balas dan kenyataan.

Penganalisis politik menjangkakan bekas menteri dalam negeri itu mahu menunggu apa tindakan Bersatu sebelum bertindak atau memberi kenyataan.

Jika dipecat, Hamzah akan menyertai dua Ahli Parlimen yang dikenakan tindakan tersebut iaitu Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) dan Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor).

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) pula digantung selama sepenggal. Hukuman keras Bersatu terhadap tiga ahli Majlis Pimpinan Tertingginya itu menunjukkan parti tidak gerun bertindak.

Memecat Hamzah bukan hanya menyebabkan Bersatu kehilangan orang nombor dua yang dipilih pada pemilihan parti walaupun beliau menang tanpa bertanding.

Tetapi bagaimana pula kedudukannya sebagai ketua pembangkang di Parlimen? Bersetujukah PAS untuk Hamzah beralih tempat duduk bukan lagi di kerusi berdepan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat?

Persoalan paling besar siapa mahu bergandingan dengan Muhyiddin untuk memandu Bersatu ke Putrajaya bersama Perikatan Nasional (PN), itu pun jika gabungan berkenaan masih bertahan di kala krisis pelantikan pengerusi ketika ini.

Muhyiddin dan Hamzah diisytihar menang tanpa bertanding pada pemilihan kira-kira tiga tahun lalu dalam satu perancangan dinamakan pelan kompromi menyaksikan beberapa nama terpaksa ‘berundur’ daripada mempertahankan kedudukan sedia ada atau mencabar mana-mana jawatan.

Misalnya, bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu bertanding kerusi naib presiden, bukan kerusi nombor dua parti. Malah, wujud spekulasi Azmin Ali turut mengintai kedudukan itu sebelum ‘membatalkan hasrat’ berkenaan.

Ketua pembangkang DUN Selangor itu kemudian dilantik setiausaha agung, mengisi kekosongan Hamzah. Faizal atau lebih dikenali Peja dipilih perwakilan sebagai naib presiden selain Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin dan Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee.

 Siapa ‘ganti’ Hamzah?

Ditakdirkan Hamzah dipecat daripada Bersatu yang disertai pada 2019, persoalan siapa antara pimpinan akan memainkan tugas ‘secara tidak rasmi’ sebagai orang nombor dua parti, menyokong Muhyiddin dari belakang.

Timbalan Ketua Bersatu Selangor, Rafiq Abdullah, memberitahu FMT kekosongan itu jika Hamzah dipecat tidak perlu diisi.

Cuma lebih baik seeloknya ada seorang timbalan presiden di belakang Muhyiddin untuk menjadi panglima atau jeneral perang pilihan raya.

Menolak Ronald Kiandee yang menyatakan secara terbuka gesaan supaya Muhyiddin meletak jawatan, mungkin nama Radzi, Faizal atau Azmin boleh menjadi ‘pemangku’ timbalan presiden.

Tetapi daripada ketiga-tiganya, Azmin mungkin dilihat ke depan dengan pengalaman selaku timbalan presiden parti yang berjaya menang pilihan raya. Ia dibuktikan ketika menjadi orang nombor dua PKR dari 2010 hingga 2020.

Beliau bukan sahaja mengukuhkan kedudukan parti itu di Selangor, malah bekas menteri besar itu memainkan peranan dalam menamatkan penguasaan Barisan Nasional pada PRU14.

Malah, ketika mengetuai jentera PN pada PRN Selangor 2023, beliau membuktikan kemampuan merampas 22 daripada 56 kerusi DUN di negeri itu sekali gus menafikan penguasaan dua pertiga Pakatan Harapan (PH).

Mungkin kemampuan Azmin akan ditagih dan dimanfaatkan Bersatu serta PN untuk menawan Putrajaya pada PRU16 yang dijangka selewat-lewatnya awal 2028, kurang dua tahun dari sekarang.

Apa pun terjadi kepada Hamzah selepas ini, kedudukan dan imej beliau di mata segelintir ahli serta pemimpin Bersatu tidak lagi seperti dahulu.

Justeru, persoalan siapa akan ‘menggantikan’ beliau dan berganding bersama Muhyiddin, menarik untuk diperhatikan. - FMT

 Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.