Tuesday, February 17, 2026

Ucapan Selamat Tahun Baharu Cina

 Kepada masyarakat Cina yang menyambut tahun baharu kuda diucapkan Xin Nian Kuai Le dan Gong Xi Fa Cai wan shi ru yi.

Mohsin Abdullah

Saya suka ‘stand up comic’. Menonton dan mendengar. Mengikuti persembahan ‘stand up comedian’ kenalah ‘chill’, santai, jangan emosi, jangan serius sangat. Dalam ‘poking fun’ ada sindir, ada perli. Ada pedas dalam kelucuan. Namun, diakui kerap juga apa yang dilawakkan ada benar dan betulnya. ‘Truth and reality in humour’.

Saya amat minat Douglas Lim, ‘stand up comedian’ Malaysia yang begitu popular. Sudah lama saya ikuti perkembangan kariernya. Masih ingat watak Steven seorang ‘hair stylist’ dibawanya dalam sitkom televisyen Kopitiam terbitan 1998. Beliau juga seorang aktor, membabitkan diri dalam filem dan teater. Boleh juga menyanyi.

Tempoh hari, Lim membuat persembahan komediri di Dewan Filharmonik Petronas yang diberi tajuk ‘Made in Malaysia’. Dalam konteks penulisan ini saya petik sedikit daripada persembahan itu. Mengenai orang Cina.

Kata Lim, kelakuan dan personaliti sesuatu bangsa ‘is highly dependent on their traditional games’. Dan bagi orang Cina ‘it’s mahjong’. Bagi orang Barat (Westeners istilah yang digunakan Lim) ‘it’s chess’.

Mahjong dan catur kata beliau hampir sama yakni ia mengenai strategi, cuba fikir ke hadapan dan ‘outmaneuver’ pihak lawan untuk kalahkan mereka. Tetapi kata Lim ada ‘fundamental difference’ antara kedua-dua permainan itu.

Dalam catur ‘you start fair dan square’, kata beliau. Semuanya adil sejak mula. Setiap pemain bermula dengan lapan pawn, dua castle, dua knight, dua bishop, satu king dan satu queen.

Menurut Wikipedia, permainan mahjong bertujuan menjadi yang pertama melengkapkan tangan (hand) 14 keping jubin dengan membentuk empat set (tiga keping sejenis/berturutan) dan satu pasang (pair).

Tetapi, kata Lim berbeza dengan catur untuk mahjong ‘you don’t know what you’re starintg with’. Kadangkala pemain dapat ‘buah’ (jubin) yang tidak bagus berbanding tiga pemain lain yang ada atau diberi jubin yang cun-cun.

Dan dalam mahjong pemain yang dapat jubin tak bagus tidak boleh bantah dan tuntut jubin diagih semula mahupun ‘redraw’ diadakan. Si pemain itu terpaksa memendam rasa meskipun jubin tak bagus dan kata kepada diri sendiri nak buat macam mana – main dulu sajalah.

Maka, kata Lim “that’s why the Chinese are what we are”. Itu sebabnya campaklah orang Cina di mana sahaja di dunia ini, ‘stack the odds against them’ dan perkenalkan dasar yang 100% berat sebelah dan tidak adil terhadap mereka, orang Cina akan kata “nak buat camna main sajalah dulu”. ‘Play firstlah’.

Cara dan gaya persembahan memang lucu tapi maksudnya orang Cina akan bertekad hadapi apa jua cabaran meski keadaan tidak menyenangkan mereka. Saya bercakap mengenai ini kerana hari ini Tahun Baharu Cina. Tahun kuda.

Bercakap pula mengenai seorang lagi ‘stand up comedian’ asal Malaysia. Ronnie Chieng lahir di Johor Bahru tetapi tidak lama dulu sudah menjadi warga Amerika.

Pada salah satu persembahannya di AS, Chieng bercakap (melawak) mengenai apa yang beliau kata sayangnya orang Cina terhadap wang. Siap dengan the F word beliau kata “Chinese people f#++ love money. We have a god of money. We pray to him for more money”.

Dan semasa Tahun Baharu Cina, orang Cina akan berkata sesama sendiri Gong Xi Fa Cai atau Kong Hee Fatt Chai. Itu kata Chieng bukan bermaksud selamat tahun baharu. Ia bermakna harap kamu akan jadi kaya. “Hope you get rich, you better hope I get rich and we get rich together,” kata Chieng dengan gaya tersendiri. Lucu tetapi memang Gong Xi Fa Cai bermaksud semoga mendapat kekayaan dan kemakmuran.

Zaman budak-budak saya ucap kepada semua orang Cina yang saya kenal dan yang tidak kenal Kong Hee Fatt Choy. Pada masa itu kain pemidang di kedai dan beg kertas untuk barangan juga tertera ucapan itu. Rupanya itu dalam dialek Kantonis. Lama kemudian semua orang ucap Gong Xi Fa Cai. Ini ucapan dalam Mandarin.

Bagi saya, apabila saya meluahkan ucapan itu maksud saya ialah ucapan selamat tahun baharu. Ucapan selamat seperti dikata tadi ditujukan kepada masyarat Cina tak kira yang saya kenal atau tak kenal. Asalkan mereka orang Cina termasuk Cina Muslim.

‘Now that I know the actual meaning its still not wrong to wish friends Gong Xi Fa Cai’. Tetapi bagaimana jika mahu benar-benar ucap selamat tahun baharu? Ucapannya ialah ‘Xin Nian Kuaile’. Mungkin ramai dah tahu. Jujur saya akui saya baru tahu. Ketinggalan bas gamaknya.

Ada lagi ucapan lazim dilafazkan pada Tahun Baharu Cina. Ini hasil carian menerusi Google. Antaranya ‘Wan shi ru yi’ yang bererti semoga segala urusan berjalan lancar dan keinginan tercapai. Ada juga ‘Xin xiang shi sheng’ bermaksud semoga apa yang dihajati tercapai. ‘Da ji da li’ – ertinya semoga mendapat tuah dan keuntungan besar.

Dikatakan boleh juga digabung ucapan-ucapan itu. Umpamanya untuk membawa erti selamat tahun baharu semoga segala urusan lancar.

Lantas kepada masyarakat Cina yang menyambut tahun baharu kuda saya ucapkan Xin Nian Kuai Le dan Gong Xi Fa Cai wan shi ru yi. - FMT

 Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.