Saturday, May 23, 2026

Kerjasama PAS-Bersatu sampai bila?

 Bolehkah kerjasama PAS-Bersatu bertahan sehingga PRU16? Semakin susah nampak. Wallahuaklam.

Mohsin Abdullah

Tidak tahu apa yang kepimpinan tertinggi Bersatu nak ‘teliti’ dan ‘bincang’ berhubung amaran Presiden PAS Hadi Awang bahawa kesabaran partinya ada batas.

Bagi saya, Hadi sudah menyenaraikan dengan jelas beberapa tindakan Bersatu yang tidak menyenangkan partinya, dan tindakan Bersatu itu dilihat oleh PAS sebagai “pelanggaran semangat setia kawan”. Apakah tindakan itu? Ramai pun dah tahu.

Menurut Hadi, pertama-tama krisis di Perlis apabila Bersatu menyokong undi tidak percaya terhadap menteri besar (orang PAS) dan meletakkan orangnya jadi menteri besar.

“Kita ambil tindakan disiplin terhadap Adun kita (yang terlibat dalam undi tidak percaya itu). Dia (Bersatu) tak bertindak apa-apa,” kata Hadi pada sidang media semalam.

Kemudian Hadi bercakap pula mengenai krisis politik di Negeri Sembilan membabitkan dua Adun Bersatu yang tarik balik sokongan untuk singkir menteri besar setelah berbuat demikian pada awal krisis, yakni tarik balik SD.

“Alasan-alasan yang diberi kita tak boleh terima. Umno tak tarik, mengapa Bersatu tarik balik?” tanya beliau.

Menurut Hadi lagi, turut tidak menyenangkan PAS ialah isu seorang exco di Kedah serta timbalan speaker Kedah dan Kelantan. Ketiga-tiga orang Bersatu yang dipecat oleh Bersatu. “Bersatu suruh pecat tukar orang. Kita melihat kepada prestasi orang ini (bekas ahli Bersatu) bukan nak pecat begitu, prestasi melaksanakan tugas dengan baik tak perlu dipecatlah.”

Kata Hadi seterusnya Bersatu menyekat parti-parti Melayu-Islam dan parti bukan Islam yang ‘tidak ekstrem’ memasuki Perikatan Nasional.

Ini bukan perkara baru maka mengapa sekarang baru ditimbulkan? “Kita sabar demi perpaduan. Tetapi ada batasya,” kata Hadi. Adakah kesebaran PAS sudah sampai batasnya sekarang?

Pada hari yang sama Hadi berkata demikian, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz mengeluarkan kenyataan memberitahu bahawa biro politik dan majlis pimpinan tertinggi partinya “akan meneliti dan membincangkan secara mendalam kenyataan Hadi”. Bila? Dalam masa terdekat. Well that’s not exactly urgent is it? Meskipun beliau kata Bersatu memandang serius apa yang dikatakan Hadi.

Saya ulangi perenggan pertama artikel ini — apa yang hendak diteliti dan dibincangkan dengan mendalam? Hadi sudah huraikan, dan pasti apa yang dihuraikan bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.

Saya tidak bercadang menyentuh apa yang berlaku di Negeri Sembilan, Perlis, Kedah dan Kelantan yang Hadi bangkitkan. Bersatu surely have their side of the story. Yang mendapat perhatian saya ialah dakwaan Hadi bahawa Bersatu menghalang parti Melayu-Islam dan parti bukan Islam ‘tidak ekstrem’ menyertai PN.

Saya tidak tahulah parti bukan Islam mana yang Hadi maksudkan. Tidak tahu juga sama ada parti sebegitu ada yang mahu masuk PN. Yang saya tahu malah umum pun tahu ialah Muhyiddin Yassin dan Bersatu tidak mahu Hamzah Zainudin atau parti yang ditubuhnya (jika ada) diterima masuk PN. Ini bukan rahsia besar.

Jelas dan nyata inilah yang dimaksudkan oleh Hadi.

Ketika artikel ini ditulis Hamzah masih belum tampil dengan parti baharu. Beliau kita tahu memegang jawatan timbalan presiden Bersatu sebelum dipecat Februari lalu. Setelah dipecat Hamzah sering bercakap mengenai pelbagai langkah politik yang akan diambil termasuk menubuh parti baharu.

Pada sidang media semalam, Hadi mengumumkan PAS sedang mengkaji semula hubungan dengan Bersatu kerana tindakan Bersatu yang dikatakan tadi. Kenyataan itu menimbulkan pelbagai persoalan, andaian dan spekulasi. Adakah PAS akan putus hubungan dengan Bersatu, sekali gus bebas untuk mengalu-alukan kemasukan parti Hamzah?

Adakah Hadi tahu apa yang kita tidak tahu, iaitu parti baharu Hamzah akan menjelma tidak lama lagi?

Mungkinkah Muhyiddin yang tahu apa yang kita tidak tahu? Setelah sekian lama berkeras tidak mahu parti Hamzah diterima masuk PN, April lalu beliau seolah menukar nada yakni seolah-olah ambil pendirian terbuka.

Kata Muhyiddin, beliau menyerahkan kepada majlis tertinggi PN menentukan sama ada parti baru yang diketuai Hamzah boleh diterima menyertai gabungan itu. Ini cukup berlainan dengan kenyataan tegas sebelum ini.

Atau mungkin beliau yakin parti Hamzah tidak akan wujud, dalam masa terdekat atau seterusnya?

Apa pun bagi beberapa pemerhati dan penganalisis politik, hubungan PAS-Bersatu ibarat retak menanti belah. Ada yang bertanya bolehkah kerjasama PAS-Bersatu bertahan sehingga PRU16? Ada yang menjawab semakin susah nampak. Wallahuaklam.

Bila bercakap pasal politik, pasti kita bersedia melihat pelbagai kemungkinan, pelbagai langkah dan tindakan. Politics is the art of the possible, bak kata Canselor Jerman abad ke-19, Otto von Bismarck. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili  MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.