Saturday, May 23, 2026

Penganalisis ramal PAS biar PN ‘tidur’, beralih kepada pakatan baharu

 Wong Chin Huat berkata PAS mungkin bersama gagasan Reset, Pejuang dan Berjasa dengan mengecualikan Umno serta Bersatu.

bendera perikatan nasional
PAS mungkin beralih daripada PN untuk bersama parti sehaluan dan kurang bermasalah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PAS kemungkinan besar membiarkan Perikatan Nasional (PN) ‘tidur’ tanpa dibubarkan, ketika kerjasama dengan Umno dan Bersatu tidak lagi menjadi pilihan buat parti itu, menurut penganalisis politik.

Pakar sains politik Wong Chin Huat dari Sunway University berkata, PAS kini sedia beralih arah membentuk pakatan baharu bersama gagasan Reset diketuai Hamzah Zainudin, Pejuang, dan Berjasa.

Katanya, langkah mengecualikan Umno dan Bersatu daripada rancangan itu disebabkan saiz kedua-dua parti berkenaan yang ‘cukup besar’ dan berpotensi menjadi pesaing kuat.

“Perpaduan antara parti besar Melayu adalah mustahil kerana mereka ibarat tiga saudara yang mencintai gadis sama. Bagaimana mungkin mereka boleh bersatu?

Wong Chin Huat
Wong Chin Huat.

“Nilai Pejuang dan Berjasa ialah mereka kecil dan tidak signifikan, maka mereka akan menerima apa saja tawaran PAS demi memberikan imej perpaduan Melayu-Muslim,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, jika gagasan baharu itu berjaya direalisasikan, PAS tidak lagi perlu berunding soal pembahagian kerusi dengan Bersatu, sekali gus memberi kebebasan kepada rakan sekutu baharunya untuk menentangnya di mana-mana sahaja.

Wong mengulas kenyataan Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad yang membayangkan gabungan PAS, Pejuang, Berjasa, dan Reset mampu menjadi platform paling stabil untuk memacu agenda Melayu-Islam.

Iskandar bagaimanapun berkata, kerjasama mereka akan cuba digagalkan tanpa menjelaskan secara lanjut.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) pula berpendapat, PAS melihat ia mampu bergerak sendiri bersama parti atau gerakan lain kerana menyedari kehilangan Bersatu tidak memberikan kesan besar terhadap mereka.

Azmil Tayeb.

Katanya, situasi itu sangat ketara ketika PRU15 apabila Bersatu terbukti sangat bergantung kepada kekuatan akar umbi PAS untuk bernafas dalam pilihan raya.

“Ia akan mengulangi acuan PRU14 di mana PAS bekerjasama dengan parti kecil seperti Berjasa membentuk koalisi Gagasan Sejahtera, namun tetap mampu menang 18 kerusi parlimen pada waktu itu,” katanya.

Katanya, selain faktor Umno yang berkeras mahu bertanding solo, pertembungan kerusi tradisional dan sejarah silam yang rencam menyulitkan sebarang usaha kerjasama pasca-PN antara mereka.

“Parti Bersama Malaysia (Bersama) pula berlainan ideologi kerana perjuangan mereka langsung tidak berteraskan ketuanan Melayu-Islam,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.