Monday, May 25, 2026

Penjaga benteng utama anak walau kerajaan giat tangani eksploitasi seksual

 Pakar psikologi Fauziah Mohd Saad berkata ramai ibu bapa beri telefon pintar atau tablet kepada anak tanpa pantau masa penggunaan, kandungan atau aplikasi.

kids using handphone
Ramai kanak-kanak tidak memahami bahaya berkongsi gambar atau video peribadi, serta risiko berinteraksi dengan individu tidak dikenali dalam talian, menurut Fauziah Mohd Saad. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Peranan ibu bapa kekal penting bagi melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi seksual dalam talian, walaupun pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan, kata pakar psikologi.

Fauziah Mohd Saad dari Universiti Pendidikan Sultan Idris berkata akses internet tanpa kawalan sejak usia terlalu muda antara faktor utama meningkatkan risiko kanak-kanak menjadi mangsa.

Menurutnya, ramai ibu bapa memberi telefon pintar atau tablet kepada anak tanpa memantau masa penggunaan, kandungan atau aplikasi yang digunakan.

“Ramai ibu bapa hanya berpesan jangan tengok benda bukan-bukan, tetapi kanak-kanak sendiri tidak memahami risiko sebenar di media sosial dan internet.


“Ini membuka ruang eksploitasi berlaku secara tersembunyi, terutama apabila pelaku menggunakan media sosial, permainan dalam talian dan aplikasi sembang untuk mendekati mangsa melalui proses grooming,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching pada 18 Mei lalu yang Malaysia merekodkan 100 kes membabitkan bahan penderaan seksual kanak-kanak dalam tempoh lima bulan tahun ini.

Berdasarkan data polis, 31 kes direkodkan pada 2020, meningkat kepada 44 kes pada 2021, menurun kepada 28 kes pada 2022, sebelum melonjak kepada 67 kes pada 2023 dan 68 kes pada 2024.

Fauziah berkata ramai kanak-kanak tidak memahami soal privasi tubuh badan, bahaya berkongsi gambar atau video peribadi, serta risiko berinteraksi dengan individu tidak dikenali dalam talian.

Katanya, pendidikan keselamatan seksual dan digital perlu dimulakan sejak kecil supaya kanak-kanak memahami sempadan diri, sentuhan selamat dan bahaya eksploitasi digital.

Sementara itu, pakar psikologi kanak-kanak Noor Aishah Rosli berkata pemangsa seksual sering menggunakan pendekatan emosi untuk memanipulasi kanak-kanak sebelum mengeksploitasi mereka.

“Ada ibu bapa takut membincangkan soal seksual dengan anak-anak, sedangkan pendidikan keselamatan seksual sangat penting supaya kanak-kanak tahu sempadan diri dan bahaya eksploitasi digital,” katanya.

Noor Aishah, dari CPC International dan Salam Senawang Specialist Hospital, berkata pelaku semakin berani kerana identiti mereka mudah disembunyikan melalui akaun palsu.

Beliau berkata ibu bapa dan sekolah perlu memainkan peranan lebih besar dalam pendidikan keselamatan digital, selain memastikan mangsa mendapat sokongan psikologi bagi mengelakkan trauma berpanjangan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.