Parti pelbagai bangsa termasuk Bersama tidak punya pilihan selain melayan tuntutan dan desakan orang Melayu jika mahu menang pilihan raya.

Selasa 19 Mei lalu, pasangan Parti Bersama Malaysia — Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Ahmad — pergi ke ibu pejabat akhbar Cina Sin Chew Daily di Petaling Jaya. Menurut akhbar itu mereka buat special visit.
Mereka datang untuk exclusive interview, kata Chong Lip Teck, salah seorang editor kanan akhbar itu. Menarik. Lazimnya jika media mahu exclusive interview dengan seseorang — tak kiralah orang politik, ahli sukan, artis atau siapa sahaja, media yang kena pergi ke orang itu dan bukan orang itu datang ke media. Namun itulah yang dilakukan Rafizi dan Nik Nazmi.
Mereka memilih Sin Chew Daily untuk temuramah khas buat kali pertama sejak mengumumkan penglibatan dengan Bersama tempoh hari. Jelas mereka mahu reach out kepada masyarakat Cina. Dua ahli politik itu bercakap panjang lebar mengenai pelbagai perkara. Untuk artikel ini saya pilih dua laporan.
Pertama ditulis oleh Cherry Wong dan Lok Sai Mun, menampilkan Rafizi seorang. Laporan disiar 20 Mei lalu. Ringkasnya Rafizi beritahu masyarakat Cina bahawa jumlah atau populasi mereka dan orang India akan jatuh bawah 25% daripada jumlah keseluruhan rakyat, dan representasi politik Cina akan mengecut dalam masa 20 atau 30 tahun mendatang. Rafizi tentulah datang dengan data.
Tetapi ini bukan maklumat baharu. Masyarakat Cina tahu jumlah mereka kian berkurangan, malah Asian Strategy and Leadership Institute pada 2017 meramalkan Chinese population may drop below 20% by 2060. Banyak lagi kaji selidik mengenai bilangan orang Cina mengecil yang tidak perlu saya huraikan di sini kerana yang ingin saya katakan ialah orang Cina tahu ini semua sebelum diberitahu Rafizi.
Tetapi Rafizi ada strategi. Katanya, akan tiba masa di negara ini tiada lagi kawasan majoriti Cina (jadi mereka tidak boleh undi DAP sahaja lagi). Semua akan jadi kawasan pelbagai bangsa atau mixed constituencies, maka pilihan mereka mestilah parti pelbagai bangsa.
Memang negara ini ada banyak multiracial parties dan terbaharu parti Rafizi. Jadi apa yang Rafizi mahu sampaikan, in not so many words, ialah orang Cina undilah partinya.
Cuma setahu saya semasa Rafizi beritahu orang Cina bahawa jumlah mereka semakin kecil, beliau tidak pula beritahu pada masa sama jumlah orang Melayu bertambah. Oleh itu, dengan bertambahnya orang Melayu maka multiracial seats juga akan didominasi oleh orang Melayu, meskipun kawasan itu kelihatan majmuk. Jadi Malay majority multiracial constituencies.
Oleh itu multiracial parties termasuk Bersama tidak punya pilihan selain melayan tuntutan dan desakan orang Melayu jika mahu menang pilihan raya.
Satu lagi ialah comment piece oleh Chong, editor kanan yang saya sebut tadi. Memendekkan cerita yang panjang, Chong bertanya kepada Rafizi dan Nik Nazmi jika Bersama menang sejumlah kerusi pada PRU mendatang dan mempunyai peluang untuk ambil bahagian dalam pembentukan kerajaan, bagaimana partinya akan memilih rakan gabungan?
Menurut Chong, respon Rafizi ialah pada peringkat sekarang mereka tidak akan berpakat dengan mana-mana gabungan tetapi jika kerjasama diperlukan setelah menang kerusi pada masa mendatang, ia mesti mengikut strict baseline of anti-racism and rejecting corruption. Ertinya berdasarkan prinsip.
Tetapi menurut Chong, realiti politik Malaysia bukan mengenai prinsip semata-mata. Realpolitik berkisar pengagihan kuasa, mengimbangi etnik, dan kompromi, bagi Pakatan Harapan, Barisan Nasional mahupun Perikatan Nasional.
Pada PRU akan datang PH, BN dan PN masih pemain utama — masing-masing ada peluang menubuhkan kerajaan. Jika Bersama pada satu masa dapat menjadi ‘pemain utama’, maka Rafizi terpaksa menghadap realiti politik dan memilih sekurang-kurangnya satu rakan kongsi, menurut Chong.
Kata Chong lagi, ideologi Bersama hampir serupa PH, dan PKR pada amnya masih mengekalkan warna dan corak parti reformis, serta semangat Reformasi belum lenyap.
Menurut Chong, berdasarkan luahan Rafizi dan Nik Nazmi dalam temubual itu, tidaklah sukar untuk lihat ketidakkpuasan hati dan kritikan mereka bukan ditujukan terhadap PKR secara keseluruhan tetapi pemimpin tertentu, yang mereka dakwa sudah meninggalkan reform principles. Pemimpin yang dimaksudkan termasuk Anwar Ibrahim dan Ramanan Ramakrishnan.
Pada pendapat Chong, jika keadaan selepas pilihan raya memerlukan suatu gabungan dibentuk, Rafizi akan ultimately pilih PH. Saya tidak tanya mengapa beliau berpendapat demikian, mungkin daripada cara Rafzi bercakap atau body language. Wallahualam.
Perlu dinyatakan ramalan tu sudah disiar Sin Chew Daily sejak 22 Mei dalam bahasa Mandarin dan Inggeris. Saya percaya Rafizi dan Nik Nazmi sudah baca atau setidak-tidaknya tahu apa yang ditulis oleh Sin Chew Daily, khususnya Chong. Sehingga kini tidak ada penafian atau bantahan daripada mereka.
Saya tidak bercadang untuk mengulas pendapat Chong, namun saya bersetuju Rafizi & Co pada peringkat ini mungkin tidak perlu pegang kuasa — sebaliknya memperjuangkan institutional reform serta menawarkan kepada rakyat suatu alternatif di luar blok politik sedia ada.
Kata beliau: “in political reality, if a party remains trapped in the realm of ‘idealism’ for too long without entering the core of power to drive actual change whether it will ultimately become a new force that transform the political ecosystem or merely fade into a symbol of social conscience — is a question that only time can answer.”
Lambat laun Rafizi kena buat keputusan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.