Saturday, May 23, 2026

Tengku Zafrul dilantik pantau Parlimen Pandan, Ampang

 Tengku Zafrul Aziz mahu aktif dengan lebih agresif di Selangor, kata naib presiden PKR.

Himpunan Setia keadilan
Naib Presiden Amirudin Shari pada himpunan PKR Pandan, malam tadi.
AMPANG:
Penasihat kanan politik kepada perdana menteri, Tengku Zafrul Aziz, dilantik sebagai pegawai pemantau bagi kawasan Parlimen Pandan dan Ampang.

Naib Presiden PKR Amirudin Shari mengumumkan pelantikan itu seiring dengan langkah parti menjadikan Parlimen Pandan kawasan angkat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga presiden parti.

“Kita nak susun balik Pusat Khidmat Parlimen (di Pandan), aturkan balik jentera, pasukan dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada himpunan PKR Pandan, yang turut dihadiri Zafrul.

Menurutnya, Tengku Zafrul diatur sebagai wakil Anwar di situ.

“Beliau (Anwar) sendiri minta sebab Tengku Zafrul nak aktif dengan lebih agresif ataupun dengan lebih rancak di Selangor. Kita minta untuk tengok Ampang dan juga di Pandan.”

Penyusunan semula pengurusan parti di kawasan itu menyusuli peletakan jawatan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai wakil rakyat Pandan dan Setiawangsa.

Mereka mengambil alih Parti Bersama Malaysia, dan meninggalkan PKR baru-baru ini.

Dalam pada itu, majlis pimpinan PKR Selangor turut memantau pentadbiran parti di Pandan dan Ampang selama satu hingga tiga bulan.

“Kita ada tanggungjawab sekarang, kita ada amanah yang kita nak laksanakan, kita ada tugasan yang kita kena utamakan. Saya janji ini pun tak lama,” katanya.

“Kalau semuanya berjalan dengan baik, kita akan teruskan dengan pengurusan dan pentadbiran yang sedia ada. Kita nak pastikan komitmen daripada semua pihak.”

Sementara itu, Amirudin beritahu hadirin bahawa ruang perbincangan masih terbuka jika ada mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan pengumuman ini, dan pucuk pimpinan parti sedia mendengar segala pandangan bagi tujuan penambahbaikan.

Dalam masa sama, Amirudin meminta semua anggota parti beri ruang kepada kepimpinan untuk menguruskan keadaan.

“Parti ini sudah melalui pelbagai ujian, tetapi semangat ahli dan idealisme perubahan menjadikan kita terus bertahan sehingga berjaya menjadi kerajaan hari ini,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.