Saturday, October 31, 2026

Tular lelaki patah kaki dilanggar, kes disiasat cuba membunuh

 Polis berkata kejadian disyaki berpunca perselisihan faham akibat wang.

Tular sejak semalam video seorang lelaki yang patah kaki dilanggar sebuah kereta. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kejadian tular sebuah kereta melanggar seorang lelaki yang patah kaki dipercayai berlaku disebabkan isu pinjaman, kata polis.

Ketua Polis Iskandar Puteri Ramlan Radin Taha, berkata perselisihan faham antara dua pihak saling mengenali itu menjurus pergaduhan fizikal dengan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.

Katanya, tiga individu terdiri seorang lelaki dan dua wanita berusia 34 hingga 53 tahun ditahan selepas laporan dibuat semalam dalam kejadian di hadapan sebuah pasar raya di Taman Pulai Utama, Skudai.

“Seorang lelaki berusia 35 tahun mengalami patah kaki kanan susulan insiden melibatkan sebuah kereta yang dipandu seorang individu terlibat.

“Mangsa telah menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengesan beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat.

Saringan air kencing terhadap tiga suspek berkenaan mendapati negatif dadah dengan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Ramlan berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.