Thursday, October 22, 2026

Yang paling bodoh menurut Syed Hussein Alatas

 Ia datang daripada kata bebal yang secara mudahnya bermaksud bodoh. Malah bebal adalah lebih dahsyat daripada bodoh.

faisal tehrani

Untuk seketika, perkataan ‘paling bodoh’ menjadi kata kunci yang masyhur. Ini ekoran seorang siswi Fakulti Ekonomi daripada Universiti Malaya (UM) bernama Ummi Umairah Bakhit menyelar tindakan segelintir Melayu yang menderma wang hasil titik peluh untuk membantu golongan elit disabitkan kes rasuah. Ummi menyatakan perbuatan tersebut adalah sesuatu yang paling bodoh selain tidak bermoral. Kenyataan, atau lebih tepat soalan Ummi tersebut dilontarkan ketika acara dalam sebuah forum terbuka yang menampilkan panel antara lain seorang DJ terkenal, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. Forum itu adalah sebahagian daripada acara Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa di Kuala Lumpur.

Dalam pertanyaan Ummi itu, beliau mempersoalkan tindakan sesetengah orang yang memilih menderma bagi membantu pesalah rasuah, Najib Razak, untuk membayar denda mahkamah berjumlah RM50 juta bagi membolehkan dirinya layak menjadi tahanan di rumah. Suis ketokohan Onn Hafiz nampak off atau terpadam seketika manakala DJ terkenal dalam forum tersebut nampaknya tersangkak, gugup lagi gagap untuk menjawab soalan yang tidak dijangka itu.

Bukan sahaja kata bodoh, sebetulnya Ummi mempertikaikan tindakan mempertahankan rasuah dan korupsi dengan menyebut-nyebut perihal skandal Tabung Haji dan lain-lain. Ini adalah intipati yang sepatutnya menjadi sorotan.

Meskipun berbahasa Inggeris, kata bodoh yang digunakan memang menular menjadi racun dalam pembuluh darah ramai penyokong Najib. Selepas keratan video itu menjadi tular, ramai dalam kalangan ahli Umno di media sosial ‘menghunus keris’ kepada siswi ini. Ada yang malah meminta Universiti Malaya mengambil tindakan terhadap beliau. Ummi malah diugut, diancam dan dinista. Padahal kata-kata Ummi menistai perbuatan rasuah itu adalah sesuatu yang terpuji.

Setelah ancaman terhadap Ummi menjadi-jadi, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir akhirnya menegaskan mahasiswa mempunyai hak untuk bersuara dan tiada sebarang tindakan tatatertib akan dikenakan terhadapnya susulan pertanyaan kritis mengenai dana sumbangan Najib itu. Noor Azuan Abu Osman, naib canselor Universiti Malaya turut terpaksa tampil memberikan kenyataan rasmi yang senada.

Kenyataan kedua-dua tokoh besar dalam pengajian tinggi ini amat penting. Ini kerana bekas naib canselor Universiti Malaya antara tahun 1988 sehingga 1991, Syed Hussein Alatas iaitu seorang pemikir, yang karya masyhurnya bertajuk ‘Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi’ pernah mempopularkan satu terma berkesan. Terma tersebut ialah gejala bebalisme. Ia datang daripada kata bebal, yang secara mudahnya bermaksud bodoh. Malah bebal adalah lebih dahsyat daripada bodoh. Ia adalah satu kalimat yang menunjukkan tumpul otak, sukar mengerti, lambat menanggapi atau memahami sesuatu perkara, dan menurut Dewan Bahasa dan Pustaka membawa juga pengertian melakukan aneka kesalahan berulang.

Akan tetapi apakah yang dimaksudkan oleh Syed Hussein yang terkenal benci rasuah dan perasuah itu dengan kata ‘bebal’. Beliau mula memperkenalkan istilah bebalisme dalam Dewan Masyarakat edisi Mac 1988.

Menurut Syed Hussei, bebalisme ini ‘bukan satu ideologi atau sistem kepercayaan atau kebudayaan atau falsafah’ tetapi ia adalah ‘orientasi pemikiran yang malas, tidak berfikir, tidak berlogik, kadang-kadang kasar, tidak ambil tahu, terlalu cepat percaya tanpa bukti, tidak saintifik, berhamburan, tiada haluan, pasif, tidak kreatif dan tiada tujuan yang terang.’

Semua anasir yang beliau sebutkan di atas akan kita jumpa di media sosial. Kita akan temukan di Facebook, X, Tiktok dan Threads. Apa sahaja yang disalurkan akan diulas sebagai satu komentar, atau ditelan bulat dan lonjong tanpa sebarang daya kritis. Tuduhan, fitnah, dakwaan palsu membiak dan beranak pinak dengan mudah di musim politik bergelora. Gejala bebalisme ini akan mudah dieksploitasi oleh pihak bertentangan dalam politik. Masing-masing akan menyebar informasi yang entah ya entah tidak.

Syed Hussein seterusnya mengatakan ‘bebalisme adalah lintah bagi pemikiran’. Ia tidak perlu diajarkan, atau dikemukakan secara teratur. Ia terjadi dengan sendiri dan ‘disebarkan sebagai satu trend’ dan ia dirujuk sebagai lintah oleh beliau lantaran pelaku atau si bebalis itu ‘bertindak melalui mental tanpa kesedaran’.

Oleh sebab ia adalah lintah bagi pemikiran, ia boleh melekap pada siapa pun. Kata Syed Hussein, ia ‘berada dalam berbagai-bagai golongan masyarakat; tidak kira umur, jantina, kebudayaan, bangsa, agama, falsafah, keadaan, waktu dan tempat’.

Apa yang menggerunkan ia adalah unsur utama yang menghalang pertumbuhan intelektual. Makanya, apabila penyokong Umno ramai-ramai ingin membantai Ummi, kita segera tahu dan mengesani bahawa rata-rata orang Umno ini terkait dengan fenomena bebalisme yang membimbangkan ini. Mungkin tidak semua, misalnya Zambry yang juga ahli Umno.

Syed Hussein juga mengaitkan bebalisme dengan ‘aliran fanatik’ iaitu mereka yang enggan menerima kebenaran dan fakta, dan terus-terusan memilih untuk percaya hal-hal bodoh dan tanpa dasar.

Apakah ciri-ciri bebalisme dan mereka yang menghidapinya, iaitu bebalis?

Menurut Syed Hussein, sang bebalis itu adalah; pertamanya mempertahankan kejahilan dan kedegilan. Keduanya mereka itu pemalas, enggan mengikuti hujah dan menganalisanya. Ketiganya, mereka selalunya bersikap acuh tak acuh, berbanding dengan daya usaha yang gigih dalam berfikir. Yang mana apa sahaja lambakan penipuan dan perdaya akan ‘diterima, berbagai-bagai pendapat, berbagai-bagai khurafat, berbagai- bagai keanehan dan keganjilan’.

Keempat, bebalisme ini menjelma kerana ada rasa diri itu ‘bersifat berkuasa benar (authoritarian) yang mana ini benar pada sesetengah ahli politik yang berasa mereka masih berkuasa atau lebih berkuasa dari rakyat. Itulah sebabnya dalam hal Ummi kita melihat beliau dibuli di dalam talian.

Kelima, mereka yang bebal itu ‘tidak suka merenung dan berfikir dan tidak suka menguji (non-experimental)’.

Keenamnya, tambah Syed Hussein, ‘satu ciri bebalisme adalah menghendaki orang lain mempercayai apa yang disarankan atau diperkatakan tanpa memberi sebab-sebab atau penjelasan yang cukup mengenai sesuatu yang luar daripada kebiasaan’.

Ketujuh, Syed Hussein sosiologis terkemuka negara pernah menulis, ‘bebalisme tidak suka kepada sifat teratur dan perbahasan secara rasional dan tidak menghargai kedua-duanya sama sekali. Apabila seorang bebalis bertindak secara rasional, ini adalah kerana pengaruh daripada kebiasaan dan bukan pemikiran mendalam secara rasional dan kerana terapan agama atau kuasa luar.’ Jika kita merenung ciri ini, kita akan mendapati terdapat sesetengah penyokong agamawan atau tokoh kanan tertentu gagal berfikir waras kerana hati serta penglihatan mereka telah dibutakan oleh ketaasuban.

Kelapan, golongan bebal ini akan cepat kita kesani iaitu ’apabila mereka bertanya, ia menampakkan kurangnya kefahaman mereka tentang prinsip-prinsip dan dengan itu soalan mereka menjadi sia-sia.’ Sebagai contoh dalam hal isu kepimpinan adat dan pertikaian kedudukan Yamtuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, apa sahaja fakta yang dibawa bahawa Undang yang lama telah digantikan di Luak dan disahkan di Dewan Keadilan akan kekal dinafikan, dipermainkan dan ditolak. Mereka enggan berusaha mempelajari prinsip adat sedia ada, dan terus-terusan menghasut, memprovokasi dan mencabar institusi adat dan diraja di negeri itu.

Dan kesembilan, Syed Hussein mengatakan sang bebalis itu biasanya ‘antilogik, kusut pemikiran, subur dengan kurafat, tidak mengandungi rasa seni (unaesthetic), tidak mempunyai sikap memelihara, menerima segala sesuatu tanpa menimbang dengan akal, tidak mempedulikan hukum sebab (causation) dan hukum pertentangan (contradiction), bersikap kuasa-benar (authoritative), dan pemikiran malas, degil, serta buntu.’

Jika kita khuatir gejala bebalisme ini mewabak di Malaysia, kita perlu mengetahui mana asal puncanya. Apakah yang menyebabkan bebalisme ini? Menurut Syed Hussein ia bermula di rumah. Tulis beliau dalam rencana itu, ‘penghalang yang pertama ialah suasana di rumah’. Dalam erti kata lain, jika ibu bapa bodoh dan bengap, biasanya mereka gagal menumbuhkan suasana tidak bebal dalam rumah tangga. Alatas malahan mengatakan untuk mengetahui rumah itu penuh kebebalan atau tidak, memadai dinilai jika ‘keluarga terlalu menggalakkan sukan dan muzik’ dan ‘tidak membaca buku’. Ini kerana ‘pengetahuan intelektual tidak disanjung tinggi sebagaimana pengetahuan tentang agama dan adat’. Syed Hussein seterusnya menyatakan bukanlah setiap rumah perlu melahirkan intelektual; ‘walaupun kita tidak mengharap tiap-tiap orang atau tiap-tiap keluarga melahirkan watak intelektual, tetapi kita perlu berharap sebahagian keluarga dan anggota masyarakat dapat menghasilkan semangat intelektual tadi’.

Apa yang lebih menakutkan dalam masyarakat adalah bebalisme ini turut dibiakkan oleh ahli akademik yang mana itu perlu dibincangkan dalam tulisan lain.

Misalnya, Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh bakal menerima ijazah kedoktoran daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 21 Nov ini. Ketua menteri Melaka yang bakal bergelar doktor itu pernah menyeru penyokong dan rakyat yang menyayangi Najib supaya mengumpulkan dana bagi membantu melengkapkan RM 50 juta agar beliau dapat ditahan di rumah.

Mujur sangat-sangat bekas ketua hakim negara, Tengku Maimun Tuan Mat dilantik sebagai penyandang pertama Kursi Diraja Integriti dan Tadbir Urus Baik, UKM. Pelantikan beliau itu diperkenan dan dititahkan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz yang juga tersohor antirasuah dan korupsi.

Apa pun syukur nikmat Allah, ada Ummi Umairah Bakhit yang telah dididik dan diasuh di rumah yang betul, di sekolah yang betul, di universiti yang betul; dan membaca bahan-bahan yang betul sehingga mampu berfikir kritis dan tidak bodoh. Sebagai alumni Universiti Malaya saya berbangga dengan Ummi. Tambahan pengungkap kata Syed Hussein adalah sarjana di Universiti Malaya dan pernah menjadi felo penyelidik kanan di Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) di UKM suatu masa dahulu.

Pun berapa ramai generasi baharu seperti Ummi Umairah Bakhit? Berapa ramai yang mengenali Syed Hussein Alatas. Buka media sosial anda dan lihat berapa dan betapa ramai bebalis di luar sana. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.