Sunday, November 1, 2026

4 tahun kerjasama, TuJu masih bermasalah, soal penganalisis

 Masalah navigasi hampir setahun selepas pelancaran menuntut bukti ujian, pemantauan, dan tindakan pembetulan, bukan sekadar penjelasan mengenai peningkatan pengguna.

TUJU APP USER TuJu
LLM dan Prosignal Consortium Sdn Bhd menandatangani MoU pada 26 Mei 2022 dengan TuJu rasmi dilancarkan pada 26 Nov 2025.
PETALING JAYA:
Masalah navigasi aplikasi TuJu hampir setahun selepas dilancarkan menimbulkan persoalan mengenai hasil kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan pembangunnya sejak 2022, kata penganalisis.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting, berkata peningkatan pengguna sepatutnya mencetuskan penelitian terhadap kesiapsiagaan aplikasi itu, bukannya menjadi alasan menjawab kelemahannya.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.

“Bukankah tujuan aplikasi navigasi dibangunkan supaya digunakan seramai mungkin pengguna? Kalau peningkatan pengguna sendiri sudah menjadi masalah, apakah sebenarnya ukuran kejayaan yang ditetapkan sejak awal?” katanya kepada FMT.

LLM dan Prosignal Consortium Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman pada 26 Mei 2022 dengan TuJu rasmi dilancarkan pada 26 Nov 2025.

LLM mengaitkan gangguan itu dengan lonjakan pengguna selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggalakkan orang ramai mempertimbangkan aplikasi berkenaan, sambil ketua pengarahnya melaporkan peningkatan daripada kira-kira 200,000 kepada 800,000 pengguna.

Prosignal memohon maaf dan menyasarkan 6 Nov untuk menyelesaikan kerja pemulihan serta penambahbaikan, sementara kerajaan meminta penjelasan mengenai punca masalah, prestasi semasa, dan langkah pembetulan.

Pengerusi LLM Hasni Mohammad pula berkata, TuJu dibangunkan untuk pengguna lebuh raya bertol, termasuk menyediakan maklumat trafik dan bantuan, bukannya bersaing secara langsung dengan Waze.

Zaharuddin berkata, LLM dan Prosignal perlu menjelaskan sama ada empat tahun itu benar-benar tempoh pembangunan aktif atau sekadar tempoh kerjasama, serta mendedahkan garis masa pembangunan, pencapaian projek, dan keputusan ujian.

“Jika masalah navigasi masih berbangkit hampir setahun kemudian, persoalannya bukan lagi semata-mata mengenai kelemahan teknologi, tetapi keberkesanan penyeliaan, pemantauan, dan tindakan pembetulan,” katanya.

Sementara itu, pakar teknologi maklumat Muhidin Arifin, berkata prestasi TuJu perlu dinilai berdasarkan ukuran jelas, termasuk ketepatan laluan, anggaran masa ketibaan, ketersediaan perkhidmatan, dan keupayaan mengira semula laluan.

Katanya, jumlah muat turun, pengguna aktif, dan pengguna yang menggunakan navigasi serentak ialah ukuran berbeza, manakala ujian tekanan diperlukan bagi menentukan kemampuan sistem menampung permintaan.

Muhidin Arifin.

Muhidin mencadangkan, LLM dan Prosignal menerbitkan punca teknikal gangguan, kapasiti pengguna serentak yang sudah diuji serta bukti masalah diselesaikan, selain menjalankan ujian lapangan terhadap ketepatan laluan dan arahan navigasi.

Beliau turut mencadangkan kumpulan teknikal bersama melibatkan LLM, Prosignal, pakar universiti, pengendali lebuh raya, dan wakil pengguna, disokong laporan bulanan atau suku tahunan mengenai pencapaian, berbanding sasaran serta masalah yang belum diselesaikan.

Zaharuddin berkata, isu itu menguji akauntabiliti pengurusan projek berkaitan kerajaan apabila pelancaran lebih diraikan, berbanding penilaian keberkesanan perkhidmatan selepas dilancarkan.

“Rakyat hanya mahu satu perkara: aplikasi navigasi yang tahu menunjukkan jalan, bukannya pihak bertanggungjawab yang semakin pandai mencari jalan keluar daripada menjawab persoalan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.