Friday, November 30, 2012

BN yang sedang mufliskan negara kita


Di dalam ucapan pembukaan oleh perdana menteri dan presiden Umno Najib Razak baru-baru ini, beliau asyik memberikan penekanan bahawa Pakatan Rakyat akan memufliskan negara ini sekiranya gabungan parti-parti pembangkang itu berjaya memperolehi kuasa di dalam pilihanraya umum yang akan datag.

Jelas, Najib, sekiranya Pakatan berjaya memegang tampuk pemerintahan di Putrajaya, negara kita ini akan muflis dalam tempoh tiga tahun yang akan datang. Sungguh menakjubkan, rupa-rupanya Najib dan Umno sudah bersedia untuk menyerahkan Putrajaya kepada Pakatan Rakyat walaupun belum tibanya pilihanraya umum yang akan datang.

Siapakah yang memufliskan negara ini sebenarnya? Skandal-skandal BN yang pelbagai melibatkan komoditi, sektor tenaga, bekalan air, isu-isu saham, pinjaman kerajaan yang tiada pembayaran balik, isu tanah, utiliti, penswastaan, isu AP (approved permits) untuk pembelian kereta mewah import, kerugian MAS, Sime Darby, Port Klang Free Zone (PKFZ), National Feedlot Corporation (NFC - Cowgate) yang berlipat ganda juta Ringgit, penyalahgunaan kuasa di dalam jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan di dalam pembelian pelbagai jenis barangan, pembelian kapal selam yang nilai dan komisen yang amat tinggi, proses perolehan peralatan pertahanan dan ketenteraan yang gagal menepati mutu piawaian dan banyak lagi.

Kesemua bentuk perbelanjaan kerajaan yang hilang kawalan ini, dengan ditambah pula dengan urusniaga dan penyelewengan yang berterusan adalah jelas terbukti, di dalam laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini telahpun menjelaskan keadaan yang sebenarnya kini sedang membawa negara ini ke ambang kemuflisan kerana tidak ada sebarang langkah perlu yang diambil oleh kerajaan BN ini untuk menghalang gejala negatif tersebut daripada terus berulang walaupun laporan audit sejak dari tahun-tahun sebelum ini telah banyak memaparkan pelbagai bentuk kesalahan dan penyelewengan di dalam perbelanjaan kerajaan.

Jadi, tak perlu tunggu sehingga Pakatan Rakyat mengambil-alih teraju pemerintahan negara ini barulah muflis, kerajaan di bawah BN sekarang kini sedang menuju ke arah kemuflisan. Najib seolah-olah cuba menolak bala kemuflisan itu kepada Pakatan Rakyat kerana beliau yakin BN dan Umno sudah tidak dapat bertahan lagi, Najib dan para menteri kabinetnya telah kehabisan modal mengenai cara-cara yang perlu untuk mengembalikan kestabilan ekonomi negara ini.

Sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mengambil-alih Putrajaya di dalam pilihanraya umum yang akan datang, cabaran yang pertama adalah bagaimana nak menstabilkan semula ekonomi negara ini, di samping memulihkan semula perbendaharaan kerajaan pusat yang hampir kering dibuat BN.

Jika "kerajaan yang baru" itu mengambil keputusan untuk memohon pinjaman daripada tabung kewangan antarabangsa, kami yakin Umno akan cuba mengaitkan langkah tersebut dengan Yahudi dan pengkhianatan Anwar terhadap Islam dan bangsa Melayu. Itu sudah pasti Umno akan berbuat demikian.

Oleh itu, rakyat jelata perlu mengambil langkah-langkah yang berani di dalam mengubah keadaan yang tenat sekarang. Kenapa hendak memberikan satu lagi peluang kepada BN yang sangat luas pengalamannya di dalam pemerintahan (dan juga amalan rasuah serta salahguna kuasa), sedangkan Pakatan Rakyat telahpun membuktikan kemampuannya di beberapa buah negeri di bawah penerajuannya.

1 comment:

  1. negara aman skarang dan stabil rakyat beleh rasai itu .....hidup BN

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.