Tuesday, November 27, 2012

CATUAN MINYAK SEKAT HAK ASASI MANUSIA



Oleh : JAYANTHI GEETHA SUKUMARAN

KUNAK : Tindakan stesen minyak di Kunak mencatu bekalan RM30 kepada setiap pengguna kenderaan yang membeli minyak diesel di semua stesen minyak di Kunak disifatkan sebagai menyekat hak asasi manusia dan menghalang kemajuan.

Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah, Citra Masadi, ketika menghubungi Sabahkini.net sebentar tadi kesal kerana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) gagal memastikan bekalan minyak mencukupi di Kunak.
"Amat malang bagi rakyat Kunak kerana tidak dapat menjalani kehidupan dengan selesa kerana kekurangan bekalan minyak diesel tetapi dalam masa yang sama bekalan minyak haram bersubsidi daripada Ko-Nelayan masih berleluasa hanya tetapi dinikmati para penyeludup dan nelayan asing," kata Citra yang agak gembira kerana menyifatkan KPDNKK bakal menyebabkan PKR menawan DUN Kunak dengan mudah.

Memandangkan kebanyakan kenderaan di Kunak adalah pacuan empat roda dan menggunakan diesel sebagai bahan bakar, maka kata Citra, para pemilik kenderaan menghadapi masalah mengusahakan kebun dan pergerakan terhalang disebabkan catuan bekalan minyak diesel.

Citra turut membidas kenyataan Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Rohani Abdul Karim di Dewan Rakyat kelmarin bahawa karga petrol dan diesel yang lebih murah berbanding di negara jiran adalah punca utama berlakunya aktiviti penyeludupan di mana pihak yang tidak bertanggungjawab mampu mengaut keuntungan begitu mewah.

Tambah Rohani lagi, walaupun kerajaan menghapuskan subsidi, harga minyak di negara ini masih murah sehingga membawa kepada aktiviti penyeludupan bahan tersebut termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Bagi RON95 di Malaysia, harga subsidi petrol di negara ini adalah RM1.90 seliter manakala di Thailand RM4.85 seliter. Diesel pula adalah RM1.80 seliter dan di Thailand RM3 seliter.

"Daripada perbezaan harga itu, menunjukkan memang mewah dan berbaloi untuk membuat ketirisan atau penyeludupan.

"Katalah jika kita hapuskan subisidi, harga RON95 tanpa subsidi jadi RM2.72 seliter manakala diesel pula RM2.75 seliter. Ini masih lagi murah," kata Rohani ketika menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau).

Citra menyifatkan kenyataan Rohani tersebut menunjukkan Kerajaan BN tahu punca tetapi gagal memastikan bekalan minyak mencukupi dan tidak mempunyai sistem pemantauan yang berkesan dengan pihak berkuasa lain seperti Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin dan Kastam yang mengawal perairan negara bagi menghalang kegiatan penyeludupan minyak seperti yang berleluasa di Kunaka sejak Ko-Nelayan diberi kuota minyak bersubsidi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.