Monday, December 31, 2012

NENEK BELUM DAPAT IC, MOHON KEPRIHATINAN PM




SEORANG nenek berusia 90 tahun mengharapkan keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyelesaikan masalahnya mendapat kad pengenalan baru yang dipohonnya sejak 40 tahun lepas.

Bashah Abdullah dari Kampung Bujang, Bedong dekat sini tidak lagi memiliki kad pengenalan setelah memohon menukar kepada kad pengenalan baru di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Baling pada 1970-an.
Katanya, dia diberikan resit pengenalan sementara bagi penukaran itu yang diperbaharui beberapa kali sejak 40 tahun lepas dan kali terakhir pada 1990 mengikut semua prosedur dan permintaan JPN Baling termasuk beberapa kali menemui pegawai jabatan itu dengan Pengarah JPN Kedah, Muhammad Pauzi Abdullah yang ditemui Ogos lepas turut berjanji mempercepat permohonannya.

"Malangnya tiga minggu lepas JPN Baling memaklumkan, nama saya tiada dalam rekod Kementerian Dalam Negeri," katanya kepada pemberita di rumahnya di Sungai Petani hari ini.

Beliau berkata ketiadaan kad pengenalan banyak menyusahkan dirinya antaranya semasa hendak mendapatkan rawatan di klinik dan menunaikan cek zakat di bank sedangkan beliau bukan pendatang asing.

"Saya bukan pendatang asing... pi lah (pergi) tanya orang kampung. Mereka boleh jadi saksi jika siasatan JPN belum mempunyai bukti lengkap," kata warga emas itu yang mempunyai dua anak lelaki berumur 62 dan 58 tahun.

Bashah yang masih sihat merayu Perdana Menteri Datuk Seri Najib memberi perhatian kepada kesnya sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.

Anak keduanya, Mansor Abd Rashid, 58, berkata dia kecewa hak-hak ibunya menikmati kemudahan yang disediakan sebagai seorang rakyat negara ini dinafikan kerana kegagalan ibunya mendapat kad pengenalan baru.

Katanya dia dan beberapa penduduk kampung berusaha melalui pelbagai cara termasuk meminta pertolongan pemimpin politik tempatan namun tidak membuahkan hasil.

"Saya harap pihak bertanggungjawab tampil membantu ibu saya sekurang-kurangnya dia boleh mengundi pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi," kata Mansor.

Seorang penduduk tempatan yang juga imam kampung tersebut, Abdul Hamid Abdul Majid, 66, berkata walaupun tiada bukti bertulis, bukti kukuh untuk menjelaskan Bashah adalah rakyat negara ini cukup kuat dan tidak seharusnya meragukan JPN untuk mengeluarkan kad pengenalan kepada warga emas itu. (Bernama)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.