Thursday, February 28, 2013

1,345 PATI DIHANTAR PULANG






KOTA KINABALU : Seramai 1,345 pendatang tanpa izin dihantar pulang ke negara asal masing-masing setakat 19 Feb tahun ini, kata Pengarah Imigresen Sabah Datuk Mohammad Mentek.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 945 orang dihantar pulang pada Januari manakala selebihnya, bulan Februari.
"Pihak berkuasa kita, termasuk Jabatan Imigresen, akan berusaha untuk mempercepatkan penghantaran balik pendatang tanpa izin, atau warga asing, ke negara asal mereka.

"Kita melakukan operasi ini secara berterusan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat penyelarasan pelbagai agensi keselamatan, termasuk Jabatan Imigresen dan Pasukan Petugas Khas di Kompleks Pentadbiran Persekutuan di Likas Rabu.

Mohammad berkata mesyuarat itu, antara lain, bertujuan memantapkan lagi pengurusan warga asing yang meliputi aspek penguatkuasaan, penahanan dan pengusiran.

Mengulas kelewatan penghantaran pulang pendatang tanpa izin ke negara asal mereka, beliau berkata terdapat beberapa faktor termasuk ketiadaan dokumen perjalanan yang sah dan rayuan pihak keluarga.

Sehubungan itu, Mohammad memohon kerjasama kedutaan, terutama Filipina dan Konsul Indonesia, supaya menyegerakan urusan pendokumentasian pendatang tanpa izin terbabit. (Bernama)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.