Justeru kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, soal sama ada DUN Pahang akan dibubarkan lebih awal tidak timbul sama sekali.
"Dewan Undangan Negeri Pahang akan tamat tempoh pada 7 April ini dan terbubar secara automatik pada 8 April, terserah atas kebijaksanaan dan budi bicara Perdana Menteri (untuk mengumumkan pembubaran Dewan rakyat)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gelombang Biru Parlimen Bentong di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah Bentong, di sini hari ini.
Adnan turut menyangkal dakwaan pembangkang bahawa Perdana Menteri takut untuk membubarkan Dewan Rakyat.
"Kalau pembangkang memerintah pun, mungkin tidak akan membubarkan kerajaan malah terus melanjutkan pemerintahan walaupun tamat tempoh, malah mungkin mereka akan mengetepikan undang-undang negara," katanya.
Beliau berkata Barisan Nasional (BN) Pahang sudah bersiap siaga sepenuhnya dan mula menggerakkan jentera pilihan raya bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-13 ini.
Katanya semua sayap BN perlu turun padang dan bertemu pengundi supaya mereka lebih memahami aspirasi kerajaan BN.
Beliau juga optimis semua 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi DUN di Pahang akan dimenangi BN pada pilihan raya umum itu nanti.
"Momentum sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional semakin meningkat berikutan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri yang membawa transformasi," kata Adnan.
DUN Pahang akan terbubar secara automatik pada 8 April ini jika tidak dibubarkan lebih awal daripada tarikh berkenaan. Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang di bawah perkara 26 Fasal 3, yang menyatakan Dewan Negeri hendaklah berjalan terus selama lima tahun daripada tarikh persidangan yang pertama dan hendaklah terbubar pada hujung tempoh itu kecuali jika dibubarkan terlebih dahulu.
Pada pilihan raya umum 2008, BN memenangi 37 kerusi, dua dimenangi DAP, dua PAS, manakala satu Bebas. Calon Bebas, Ho Yip Kap kemudiannya menyertai parti Gerakan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.