Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau sama sekali tidak terbabit dalam membuat keputusan berhubung dakwaan pemberian kontrak PETRONAS kepada anaknya.
Malah, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau cuma diberitahu oleh Presiden PETRONAS selepas kontrak itu diberikan dan beliau sanggup bersumpah di dalam masjid dengan menjunjung Al-Quran berhubung perkara itu.
"(Ketua Pembangkang Datuk Seri) Anwar Ibrahim menuduh saya, sebagai penasihat PETRONAS sudah terbabit dalam pemberian kontrak PETRONAS kepada anak saya.
"Bagi Anwar, inilah yang biasa dilakukan olehnya jika ia berkuasa. Semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan memang pun banyak kontrak diberi olehnya kepada penyokong politiknya dan keluarganya.
"Kementerian sudah mempamerkan semasa mesyuarat Agung UMNO senarai orang yang mendapat kontrak semasa ia berkuasa. Terdapat dalam senarai nama penyokongnya dan keluarganya. Tidak ada satu pun dari anak saya yang tersenarai," katanya dalam entri terbaharu blognya, www.chedet.cc.
Dr Mahathir berkata, walaupun digelar sebagai penasihat PETRONAS, beliau tidak memberi apa-apa nasihat kepada syarikat itu.
"PETRONAS diletak di bawah Perdana Menteri dan Perdana Menteri lah yang memberi arahan kepada Petronas. Semasa saya jadi Perdana Menteri pun saya tidak memberi apa-apa bantuan kepada anak-anak saya," katanya.
Katanya, tiada seorang pun anaknya mendapat tempat dalam kerajaan atau dalam parti ketika beliau sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Beliau menjelaskan beberapa kali nama mereka dicalonkan tetapi tidak membenarkannya sehingga beliau bersara, begitu juga tiada kontrak kerajaan yang mereka perolehi.
"Jika mereka berjaya sama ada dalam perniagaan atau politik, ini adalah atas usaha mereka sendiri. Dan ini semua berlaku selepas saya letak jawatan Perdana Menteri," katanya.
Dr Mahathir berkata, PETRONAS tidak memberi peluang kepada anaknya sahaja ketika beliau menjadi penasihatnya dan orang lain juga mendapat peluang jika mereka ada kemampuan.
Sebaliknya Anwar, katanya, apabila menubuh partinya melantik isterinya sebagai Presiden, sebagai calon di Permatang Pauh dan kemudian menyuruh isterinya melepaskan kawasan untuk ditandinginya.
"Tidak ada bukti adanya pertandingan untuk jawatan penasihat parti yang disandang olehnya. Dia juga memilih anaknya untuk menjadi calon dalam pilihan raya.
"Sekarang isterinya jadi presiden parti dan anaknya jadi naib presiden parti. Kawannya juga jadi timbalan. Parti Keadilan adalah milik Anwar Ibrahim," katanya.
"Jika anak dan isteri Anwar boleh menjadi politikus, apakah anak saya tak boleh berniaga sendiri tanpa difitnah oleh Anwar?
"Kenapa begitu takut bersumpah jika jenayah liwat tidak dilakukan. Berani kerana benar, takut kerana salah – demikian pepatah Melayu," katanya. - BERNAMA
Yang di atas pun Anwar perlu jawab.
Betoi ka dia dengan kawan-kawan MCKK yang rapat dengannya kebas duit Petronas berbillion-billion?
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.