Wednesday, July 31, 2013

PEKADIN MAHU PEJABAT JABATAN PEMBANGUNAN WANITA PERSEKUTUAN DIWUJUDKAN DI SABAH


KOTA KINABALU, 31 Julai (Bernama) -- Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mewujudkan pejabat cawangan Jabatan Pembangunan Wanita Persekutuan di Sabah.
Timbalan presidennya Nailin Gabintal berkata pewujudan pejabat cawangan jabatan itu wajar diberi pertimbangan bagi membantu meningkatkan lagi penyertaan wanita dalam program pembangunan di negeri ini.
Selain itu, katanya, Jabatan Pembangunan Wanita Persekutuan boleh bertindak sebagai agensi sokongan kepada usaha yang kini dilaksanakan oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA).
"Kita berpendapat dengan sokongan dana yang lebih besar dari Jabatan Pembangunan Wanita Persekutuan, program dan aktiviti wanita akan bertambah meningkat dan menjadi semakin mantap.
"Soal pertindihan bidang tugas tidak timbul kerana peranan kedua-dua jabatan itu saling bantu membantu. Misalnya, di Sabah kita ada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah (Persekutuan) dan pada masa yang sama kita ada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah," katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu.
Nailin berkata cadangan Pekadin itu sejajar dengan program transformasi pembangunan yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan menzahirkan transformasi yang holistik, termasuk pembangunan wanita.
Beliau berkata usaha bersepadu antara Jabatan Pembangunan Wanita Persekutuan dan JHEWA kelak akan membantu merealisasikan wawasan negara itu dalam konteks pembangunan atau penglibatan wanita dalam arena pembangunan.
Nailin yakin penubuhan Jabatan Pembangunan Wanita Persekutuan akan memberi manfaat kepada kaum wanita di negeri ini, terutama dalam membantu menaja projek yang dikelolakan wanita dan persatuan wanita.
"Jabatan Pembangunan Wanita Persekutuan juga boleh membantu memperbanyakkan aktiviti yang menjurus kepada menaikkan ekonomi luar bandar, membantu membiayai kos perubatan penyakit kronik ibu tunggal yang tidak berpendapatan tetap selain memberi sokongan kewangan kepada usahawan wanita untuk mencapai tahap global," katanya.
Nailin berharap Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga anggota Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun dapat membantu menjayakan penubuhan pejabat cawangan jabatan itu di Sabah. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.