Saturday, September 28, 2013

Alahai, abu Chin Peng!

Tindakan 'bijak' kuasawan membuatkan orang ramai semakin berminat untuk tahu kisah sebenar.
COMMENT
Salakan dan kokokan presiden dan timbalan presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang juga “rakan Barisan Nasional” kurang kedengaran selepas rakyat menolak mereka menerusi kuasa undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Bagaimanapun, suara mereka – khasnya Ibrahim Ali – kembali nyaring dalam usaha mendesak supaya Anugerah Sastera Negara dan gelaran Sasterawan Negara yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Datuk A. Samad Said (Pak Samad) pada 1985 ditarik balik.
Puak-puak dan sekutu Perkasa nampaknya “berehat sebentar” daripada menyerang Pak Samad dan kini menumpukan salakan kepada abu dan roh Chin Peng yang sudah masuk syurga.
Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) itu disahkan meninggal dunia di Bangkok, Thailand pada 16 September 2013; secara simbolik pada tarikh ulang tahun ke-50 pembentukan Persekutuan Malaysia.
Antara reaksi “proaktif” dan “terkedepan” daripada ketua polis negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar adalah mengarahkan polis berjaga-jaga serta mengetatkan kawalan di sempadan secara khusus bagi memastikan jenazah dan/atau abu mendiang tidak “diseludup” masuk ke negara bertuah ini.
Menerusi mesej Twitter, Khalid menegaskan bahawa lelaki kelahiran Setiawan, Perak itu “bertanggungjawab ke atas kematian ramai anggota polis dan tentera semasa Darurat”.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memang “bijak” mengeluarkan kenyataan dalam hal-hal yang “penting sahaja” turut menegaskan bahawa mayat Chin Peng tidak akan dikebumikan di Malaysia.
Manakala untuk menunjukkan bahawa beliau juga “bijak” dan “sealiran” dengan pemikiran penguasa, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menekankan bahawa abu jenazah pejuang itu pun “tidak akan dibenarkan masuk ke bumi Malaysia”.
Komitmen, kesungguhan, kebijaksanaan dan sikap proaktif yang ditunjukkan oleh golongan yang ada kuasa ini amat mengagumkan. Walaupun dalam hal-hal yang melibatkan kebajikan rakyat, penguasa (kuasawan) lambat, malas dan lembab bertindak, sekurang-kurangnya mereka tangkas mengeluarkan kenyataan sebaik sahaja Chin Peng masuk syurga.
Lelaki Komunis Terakhir
Secara psikologi, hal ini sekurang-kurangnya menunjukkan betapa kuasawan (istilah yang dipopularkan oleh Pak Samad) tidak takut pada kuasa rakyat tetapi kecut apabila berdepan dengan (roh, jenazah, abu) Chin Peng.
Saya bukanlah penyokong atau peminat Chin Peng. Saya juga tidak pernah terpengaruh oleh propaganda yang disuntikkan menerusi buku-buku teks sekolah, mahupun filem ‘Tanda Putera’ (2013).
Saya hanya mengenali “semangat” Chin Peng menerusi filem kembara dokumentari berlagu berjudul ‘Lelaki Komunis Terakhir’ (2006) oleh Amir Muhammad yang sempat saya tonton di luar negara.
Berbalik kepada usaha mengawal sempadan negara bagi memastikan tiada sesiapa menyeludup abu jenazah Chin Peng masuk ke Malaysia, saya faham bahawa para petugas (polis) hanya merupakan golongan “yang menjalankan tugas” dan “yang menurut perintah”.
Kita perlu mengakui betapa polis kita amat dedikasi dan menumpukan sepenuh perhatian pada tugas dan arahan. Kalau diarahkan supaya menangkap peragut, maka mereka akan melakukannya dengan sepenuh jiwa.
(Usahlah dipersoalkan jika mereka membiarkan penembak atau perompak atau pembunuh atau penjenayah paling dikehendaki berjalan bebas di depan mata selagi mereka tidak meragut beg tangan sesiapa.)
Dalam isu jenazah dan abu Chin Peng, apa yang diharapkan daripada golongan “yang menjalankan tugas” dan “yang menurut perintah” adalah supaya tidak sekadar bertindak membabi buta (peribahasa Melayu) sehingga mengaibkan negara.
Misalnya, jangan pula kita menjadi bahan lawak antarabangsa kerana terlalu “mabuk asmara” (ghairah) dengan abu Chin Peng sehingga tidak mengambil kisah serta membiarkan sahaja penyeludupan dadah, beras, gula, kanak-kanak dan wanita, kereta, lembu dan sebagainya di sempadan negara.
Alasan atau rasional yang mungkin diberikan adalah amat mudah: Tugas yang diamanahkan oleh ketua polis negara dan Perdana Menteri adalah supaya memastikan abu Chin Peng tidak dibawa masuk ke Malaysia. Bukan lembu, beras, gula, dadah dan sebagainya.
Tanah tumpahnya darah
Pandangan di atas mungkin – malah, tentu – kedengaran amat lucu. Akan tetapi, kita perlu bersiap-sedia bagi menghadapi segala kemungkinan. Siapa yang lebih mengenali mentaliti golongan “yang menjalankan tugas” dan “yang menurut perintah” jika bukan kita sebagai rakyat di negara bertuah ini?
Kisah dan paparan tentang Chin Peng tersebar luas menerusi media sosial dan ruang siber sejak sekitar dua minggu lalu. Generasi muda yang meluat menghafaz nama, tarikh dan peristiwa berbaur propaganda dalam buku teks Sejarah di sekolah dahulu juga sudah amat berminat untuk mengetahui “kisah sebenar”.
Tindakan serta arahan “bijak” yang dikeluarkan oleh Najib, Khalid, Zahid, Ibrahim dan sekutu berhubung abu Chin Peng membuatkan orang ramai semakin mahu tahu “sejarah silam” yang mungkin sedang disembunyikan.
Siapa sebenarnya Chin Peng? Mengapa Barisan Nasional (BN) begitu membenci mendiang? Apakah kuasa yang ada pada abu mendiang sehingga membuatkan kuasawan gementar dan “kecut telur”?
Apakah roh Chin Peng sama kuat dengan roh Altantuyaa Shaariibuu yang terus “menghantui” pihak tertentu sejak 18 Oktober 2006? Apatah lagi sejak 23 Ogos 2013, ternyata “tidak ada sesiapa” yang membunuh model Mongolia itu.
Demikian antara persoalan yang wujud dalam kalangan warga siber. Mereka yang mencari jawapan bagi segala persoalan ini tentu sahaja tidak akan merujuk media arus perdana yang dikuasai BN.
Sebaliknya, ruang siber terbentang luas dan bersedia memberikan jawapan dan penjelasan bagi pelbagai persoalan yang timbul. Rakyat juga sudah tahu untuk membezakan antara fakta dan auta.
Walaupun sempadan negara dikawal ketat oleh golongan “yang menjalankan tugas” dan “yang menurut perintah”, percayalah bahawa “roh” Chin Peng tidak boleh dihalang daripada meresap masuk ke “tanah tumpahnya darah” mendiang.
Boleh sesiapa tolong sampaikan kepada Najib, Khalid, Zahid, Ibrahim dan sekutu mereka yang “bijak” bahawa Chin Peng bukan sekadar “jasad dan abu” tetapi mendiang adalah “ideologi dan pemikiran”!
Saya bukan penyokong Chin Peng atau PKM. Sebaliknya saya tidak dapat berdiam diri melihat “kebodohan” dipamerkan secara terbuka dan dengan penuh bangga oleh kuasawan yang menyangka mereka terlebih bijak.
Uthaya Sankar SB sedar bahawa makalah ini mungkin diterjemah oleh akhbar Tamil sebelum diterjemahkan kembali ke Bahasa Malaysia oleh sebuah unit khas yang melakukan pemantauan “bijak”.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.