DUA beradik yang sedang tidur dihampiri sukarelawan UNGGAS.
Kuala Lumpur: Akibat kesempitan hidup dan gagal menjelaskan bayaran sewa rumah, sepasang suami isteri bersama empat anaknya terpaksa tidur di kaki lima berhampiran Medan Pasar, dekat sini, beralaskan surat khabar.
Penderitaan keluarga berkenaan mendapat perhatian Pertubuhan Menangani Masalah Sosial Malaysia (UNGGAS) yang melakukan rondaan rutin di sekitar kawasan berkenaan sebelum menghampiri keluarga berkenaan.
Ketua Jurulatih Unit Latihan dan Jaringan UNGGAS Kamaruddin Kassim berkata, anak pasangan itu yang berusia antara lima dan 10 tahun ditemui tidur dalam keadaan menyedihkan dan hanya beralaskan helaian surat khabar.
Menurutnya, ketika ditemui, tiga anak pasangan itu tidur di atas kerusi tempat duduk awam di kawasan berkenaan manakala seorang lagi di atas lantai.
“Berdasarkan perbualan antara kami dan ibu bapa keluarga berkenaan mendapati pasangan berkenaan hidup secara gelandangan sejak dua minggu lalu selepas diarahkan keluar oleh pemilik rumah kerana gagal menjelaskan sewa.
“Selepas itu, mereka gagal untuk mendapatkan perlindungan dan terpaksa tidur di kaki lima kerana mengalami kesempitan hidup,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, di sini, semalam lapor Hmetro Online
Kamaruddin berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan untuk keluarga malang ini termasuk mendapatkan khidmat sukarelawan pertubuhan itu bagi menjalankan pemeriksaan kesihatam terhadap anak-anak keluarga berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya bimbang dengan tahap kesihatan kanak-kanak berkenaan terutama kesihatan mental kerana keadaan seumpama itu tidak sesuai untuk pembesaran.
Katanya, UNGGAS sedang berusaha untuk menjejaki keluarga berkenaan berikutan kekurangan maklumat berkaitan mereka bagi membolehkan bantuan diberikan.
“Kami akan berusaha untuk mencari keluarga ini memandangkan mereka sering berpindah randah daripada satu tempat ke tempat yang lain,” katanya.-hmetro
Syasya: Kesian sungguh melihat dua beradik ni tidur beralaskan surat khabar, semoga ada pihat yang sudi membantu mereka untuk meringankan penderitaan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.