Friday, February 28, 2014

Kerana Najib, Kini Semua Orang Boleh Ketawa di Malaysia



Dengan menggunakan slogan ketua AirAsia Tan Sri Tony Fernandes bagi penerbangan tambang murahnya, kini semua orang boleh ketawa di Malaysia.

Reputasi kita kini benar-benar jatuh berguling di rantau Asia Tenggara. Satu ketika dahulu, Malaysia dianggap kuasa ekonomi yang kian meningkat serta negara demokrasi yang stabil. Kini kita menjadi bahan jenaka kerana pelbagai sebab yang tidak sepatutnya.

Terbaru, kita diketawakan di Indonesia apabila portal berita Merdeka.com menamakan Perdana Menteri kesayangan kita Datuk Seri Najib Razak salah seorang pemimpin dunia paling boros di dalam perbelanjaan.

Beliau disenaraikan bersama-sama tokoh 'hebat' yang lain termasuk Presiden Zimbabwe Robert Mugabe, bekas Perdana Menteri Itali Silvio Berlusconi, pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan Perdana Menteri Israel Benyamin Netanyahu.

Maka, inilah sebabnya negara jiran kita tersenyum lebar, sambil memandang ke arah kita.

“Kejayaan” terbaru ini menuruti beberapa kejayaan yang lain termasuk sekatan ke atas kebebasan akhbar, kenaikan kadar hutang, peningkatan kadar jenayah, rasuah yang berleluasa dan pengaliran wang haram di dalam jumlah yang besar.

Malaysia juga terkenal dengan industri cetak rompak, pengedaran dadah, penyeludupan hidupan liar serta pemerdagangan manusia, bagi melengkapkan gambaran yang sedia ada.

Apa dah jadi dengan Malaysia di bawah pentadbiran Najib?

Pelbagai gambaran negatif mewarnai pentadbirannya, hinggakan Tun Abdullah Ahmad Badawi nampak lebih cemerlang.

Wajar sangat bagi Najib dipersoal kerana beliau juga bertanggungjawab ke atas legasi Tun Mahathir Mohamad.

Jika laporan ini benar, kita tertanya-tanya samada PM kita terlalu sibuk berbelanja dan memikirkan imej serta perhubungan awamnya, sehingga beliau gagal mengemudi negara.

Kesemua pemimpin yang disenaraikan didakwa menggunakan dana awam bagi tujuan peribadi.

Mugabe dilaporkan berbelanja mewah bagi majlis harijadi ke -90nya. Berlusconi kerap membeli hadiah bagi artis sementara Netanyahu membeli lilin wangian bagi pejabatnya dengan nilai yang begitu tinggi. Perbelanjaan Kim pula dijelaskan di dalam laporan khas PBB.

Artikel tersebut memetik laporan akhbar mingguan The Heat serta portal Free Malaysia Today tentang perbelanjaan yang dibuat Najib, peserta rombongannya, para isteri dan tidak lupa juga, perunding yang digajinya.


Oleh: Hazlan Zakaria

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.