Friday, June 27, 2014

Murid Tahun Tiga Nyaris Jadi Mangsa Rogol


Slim River - Hanya dengan umpan membeli buku, seorang murid tahun tiga nyaris menjadi mangsa rogol selepas dilarikan seorang lelaki dalam satu kejadian culik di sebuah stesen bas berhampiran sebuah sekolah rendah, di sini, semalam. 

Bagaimanapun, nasib menyebelahi kanak-kanak berusia 9 tahun itu apabila berjaya melarikan diri di Jalan Slim Lama, Slim Village berhampiran perkuburan Cina, sebelum diselamatkan seorang wanita.

Kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu disedari kakak mangsa berusia 12 tahun yang ternampak kelibat adiknya bersama seorang lelaki memasuki sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback.

Sangsi dengan keadaan itu, kakak mangsa segera menghubungi ayahnya sebelum satu laporan polis dibuat.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nanyan berkata, berdasarkan keterangan mangsa, lelaki berusia 57 tahun itu pada mulanya mengajaknya menaiki kereta dengan alasan untuk ke kedai membeli buku.

Menurutnya, ketika berada dalam kenderaan, suspek telah mengugut mangsa agar tidak melarikan diri sebelum membawanya ke sebuah pondok berhampiran perkuburan Cina.

"Tiba di kawasan itu, lelaki berkenaan mengarahkan mangsa membuka kasut dan seluar.

"Mangsa yang ketakutan terpaksa mengikut arahan suspek, namun setelah beberapa minit, lelaki itu bertindak meninggalkan lokasi menyebabkan mangsa segera melarikan diri.

"Seorang wanita yang kebetulan melalui jalan berkenaan segera memberhentikan kenderaannya sebaik terlihat kanak-kanak itu yang berlari dalam keadaan ketakutan, sebelum membawanya ke balai polis," katanya.

Identiti lelaki tidak bermoral itu, bagaimanapun berjaya dibongkar dalam tempoh kurang dua jam apabila polis berjaya mengesan kenderaan digunakan suspek kira-kira jam 2.40 petang di sekitar Slim River. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.