Wednesday, July 30, 2014

ZAID IBRAHIM BERKATA UMAT ISLAM MUNDUR SEBAB HARAMKAN LELAKI DAN PEREMPUAN BERSALAMAN ... BETUL KE???

Heboh kini satu tweet dari akaun kepunyaan Zaid Ibrahim berbunyi .. Bersalam lelaki perempuan haram. Patut lah umat Islam mundur .

Betul ke apa yang dinyatakan ini? .. Adakah ini akaun twitter sebenar Zaid Ibrahim? Jika benar maka penjelasan terperinci harus diberikan mengapa boleh beliau berkata sedemikian .. Jika bukan maka perlu beliau buat laporan polis kerana ada pihak lain berniat jahat mau menjatuhkan nama baiknya dengan serangan fitnah jahat ini kerana tweet ini sudah pun mulai tersebar dialam maya.


Menyentuh wanita bukan mahram; bersalam, tepuk bahu, jentik telinga, apatah lagi memegang, memeluk dan sebagainya, ia merupakan perbuatan yang haram. Tidak kira kita bersalam dengan pemimpin atau orang bawahan, rakyat bersalam dengan pemimpin, pemimpin bersalam dengan rakyat. 


Perkara ini perlu difahami, ia datang dari syariat. Ia adalah perkara agama. Ia bukan perkara di mana jika masuk parti A boleh salam, masuk parti B tidak boleh salam. Ia bukan sekejap boleh dan sekejap tidak boleh. Ini adalah perkara agama dan ia mesti dipraktikkan pada setiap masa dan keadaan.


Ini bukan jumud dan ini bukan ekstrim, tetapi ini adalah prinsip Islam.

Pertama, kerana dalilnya jelas. 


Dalam hadis Aisyah RA, diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim,


قَالَتْ عَائِشَةُ فَمَنْ أَقَرَّ بِهَذَا مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ فَقَدْ أَقَرَّ بِالْمِحْنَةِ وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِذَا أَقْرَرْنَ بِذَلِكَ مِنْ قَوْلِهِنَّ قَالَ لَهُنَّ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « انْطَلِقْنَ فَقَدْ بَايَعْتُكُنَّ ». وَلاَ وَاللَّهِ مَا مَسَّتْ يَدُ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَدَ امْرَأَةٍ قَطُّ. غَيْرَ أَنَّهُ يُبَايِعُهُنَّ بِالْكَلاَمِ – قَالَتْ عَائِشَةُ – وَاللَّهِ مَا أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَلَى النِّسَاءِ قَطُّ إِلاَّ بِمَا أَمَرَهُ اللَّهُ تَعَالَى وَمَا مَسَّتْ كَفُّ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- كَفَّ امْرَأَةٍ قَطُّ وَكَانَ يَقُولُ لَهُنَّ إِذَا أَخَذَ عَلَيْهِنَّ « قَدْ بَايَعْتُكُنَّ ». كَلاَمًا.
“Aisyah berkata, “Siapa saja wanita mukminah yang mengikrarkan hal ini, maka ia telah diuji.” Rasulullah SAW sendiri berkata ketika para wanita mukminah mengikrarkan yang demikian, “Kalian boleh pergi kerana aku sudah membai’at kalian”. Namun demi Allah, beliau sama sekali tidak pernah menyentuh tangan seorang wanita pun. Beliau hanya membaiat para wanita dengan ucapan beliau. ‘Aisyah berkata, “Rasulullah SAW tidaklah pernah menyentuh wanita sama sekali sebagaimana yang Allah perintahkan. Tangan beliau tidaklah pernah menyentuh tangan mereka.  Ketika baiat, beliau hanya membaiat dengan berkata, “Aku telah membaiat kalian dengan perkataan.”
Bahkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik bin Anas RA dengan sanad yang sahih, sabda Nabi SAW,

إِنِّي لاَ أُصَافِحُ النِّسَاءَ، إِنَّمَا قَوْلِي لـِمِائَةِ امْرَأَةٍ كَقَوْلِي لِامْرَأَةٍ وَاحِدَةٍ
“Sesungguhnya aku tidak sama sekali berjabat tangan dengan kaum wanita. Hanyalah ucapanku kepada seratus wanita seperti ucapanku kepada seorang wanita.” (riwayat Mali, An-Nasa-i dalam ‘Isyratun Nisa` dari As-Sunan Al-Kubra, At-Tirmidzi, dll. Lihat Ash-Shahihah no. 529)
Begitu juga kata Nabi SAW,

لأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ رَجُلٍ بِمِخْيَطٍ مِنْ حَدِيدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأَةً لا تَحِلُّ لَهُ
“Ditusuknya kepala seseorang dengan pasak dari besi, sungguh lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang bukan mahramnya.”(riwayat Thabrani dalam Mu’jam Al Kabir 20: 211. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadis ini shahih)
Pada hari ini ramai di kalangan umat Islam mengambil mudah hal ini. Itu tiga hadis yang saya bawakan dan banyak lagi hadis-hadis yang lain dan saya tidak bermaksud untuk menceritakan kesemuanya.

Kedua, perempuan itu aurat.


Di dalam hadis Nabi SAW memerintahkan kita menundukkan mata dan pandangan. Kalau mata pun dilarang melihat, apatah lagi memegang. Dalam hadis yang masyhur, Jarir bin ‘Abdillah mengatakan,


سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَنْ نَظَرِ الْفُجَاءَةِ فَأَمَرَنِى أَنْ أَصْرِفَ بَصَرِى
“Aku bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam tentang pandangan yang cuma selintas (tidak sengaja). Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan kepadaku agar aku segera memalingkan pandanganku.” (riwayat Muslim no. 2159)
Itu adalah asal hukumnya, jika melihat pun dilarang oleh Nabi, apatah lagi memegang.

Ketiga, tutup pintu dan jalan yang boleh membawa kepada kerosakan.


Ada di kalangan kita yang memberi alasan, aku bersalam dengan orang yang sudah tua, aku tidak ada apa-apa perasaan terhadapnya. Itu perasaan kita. Bagaimana dengan perasaan pihak yang satu lagi. Kita tidak boleh menganggap orang lain perasaannya sama dengan perasaan kita.


Pernah dengar atau tidak kes rogol nenek yang berusia lebih 70 tahun? Berlaku atau tidak? Perkara ini berlaku. Jadi Islam menyuruh umatnya menutup jalan-jalan dan ruang-ruang yang boleh membawa kepada kerosakan, dengan itu tidak boleh bersalaman antara lelaki dan perempuan bukan mahram, tidak kira sepupu, atau tinggal bersama sejak kecil seperti adik beradik, adik ipar atau sebagainya. Hukum tidak ditetapkan seperti itu.


Malah sepupu dan adik ipar sebenarnya lebih bahaya. Kata Nabi SAW,


الْحَمْوُ الْمَوْتُ
 “Al-Hamwu adalah maut.” (riwayat al-Bukhari)
Al-Hafizh Ibnu Hajar al-Asqalani rhm dalam Fathul Bari menukilkan ucapan al-Imam an-Nawawi rhm berkata bahawa ahli bahasa sepakat bahwa al-hamwu adalah kerabat-kerabat suami, seperti ayah, pakcik, saudara lelaki, ipar, sepupu dan semisalnya.

Sebab apa demikian adalah apabila berlaku sesuatu isu contohnya adik ipar berkenan dengan abang ipar, bukan sahaja dari sudut hukum ianya jadi haram, bahkan dari sudut hubungan kekeluargaan akan rosak. Apa kata adik kepada abangnya jika hal sedemikian terjadi? Ia akan jadi isu besar dan memecah belahkan hubungan kekeluargaan.


Sebab itu Islam mengambil langkah berhati-hati dengan mengingatkan bahaya ipar sebagai maut, kerana mata dan perasaan manusia sangat bahaya. Kalau selalu melihat dan memandang, yang tidak elok akan kelihatan cantik, dan sebagainya.


Itu perkara dan hujah asas yang dibawa oleh Asy-Syaikh Muhammad Amin Al-Syanqithi. Adapun perkara keempat beliau turut menyebutkan dalam perbincangan yang panjang, iaitu hadis-hadis Ummu Sulaim dan juga hadis Ummu Haram di mana hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari di dalam 13 tempat di dalam kitab Sahihnya secara ringkas.


Hadis tersebut berkaitan Nabi SAW masuk ke dalam rumah Ummu Haram dan duduk dan tertidur di ribaannya sambil dia mencari kutu di kepala Nabi SAW. Ini antara hadis yang para ulama bahaskan dengan panjang.


Antara yang mengulasnya adalah Imam An-Nawawi, Ibn Hajar Al-Asqalani, mereka meletakkan pelbagai pendekatan dan mereka mengkritik pendekatan orang yang mengatakan ini khusus untuk Nabi SAW kerana mereka mengatakan Ummu Haram bukan mahram Nabi SAW.


Sedangkan Imam An-Nawawi, Ibnu Abdil Barr, Ibn Hajar Al-Asqalani, dan juga ilmuwan Islam yang datang sesudahnya bersependapat bahawasanya Ummu Haram ada hubungan kekeluargaan dengan Nabi SAW iaitu hubungan susuan. Telah menjadi kebiasaan masyarakat Arab pada ketika itu mempunyai ibu susuan.


Buktinya adalah para sahabat Nabi dan yang datang setelahnya tidak pernah mempersoalkan atau bertanya tentang perbuatan Nabi SAW. Tidak ada seorang pun sahabat Nabi yang bertanya mengapa Nabi masuk ke rumah wanita yang bukan mahram. Dan tidak ada seorang pun dari kalangan sahabat dan ulama-ulama salaf setelah itu yang mengatakan perbuatan itu khusus untuk Nabi SAW.


Orang munafiq pada zaman Nabi SAW sentiasa mencari ruang untuk menjatuhkan Nabi SAW. Lihat apa yang mereka buat kepada Aisyah ketika Aisyah di dalam perjalanan bersama dengan seorang sahabat Nabi SAW, padahal mereka bukan berjalan sekali. Pun orang munafiq menuduhnya sebagai penzina.


Apatah lagi kalau Nabi SAW masuk ke rumah wanita yang bukan mahram. Ini peluang terbesar golongan munafiq untuk menuduh Nabi. Tetapi mereka tidak menggunakannya, bererti mereka telah mengetahui bahawa Nabi SAW ada hubungan susuan dengannya.


Jadi hadis itu tidak boleh digunapakai untuk mengharuskan lelaki dan wanita bukan mahram memandang atau menyentuh antara satu sama lain. Ini sama sekali tidak betul dan tidak benar kepada sesiapa pun.


Kenapa orang mendiamkan isu ini? Kerana ada pemimpin parti masing-masing yang melakukannya, maka tidak ada siapa yang berani bersuara tentangnya. Ini adalah hukum Islam dan kita bercakap di atas Islam bukan kerana kepentingan parti masing-masing. Ia adalah perbuatan yang haram dan sesiapa yang melakukannya harus memikirkannya kembali.


Elakkan dari bersalaman antara lelaki dan perempuan tidak kira siapa yang menghulurkan tangan terlebih dahulu. Dan tidak salah jika kita menolak dengan beradab dan bersopan. Kalian adalah generasi wasathiyah sekiranya kalian dapat mengelakkan perkara-perkara seperti itu. Pilihlah jalan yang paling selamat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.