Dua Adun tidak perlu dirujuk Lembaga Disiplin PAS - Mustafa Ali
KUALA LUMPUR: Dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS dari Selangor, Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin tidak perlu dirujuk kepada Lembaga Disiplin parti, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali.
Mustafa berkata, kes Adun Hulu Kelang dan Morib itu akan diputuskan oleh Jawatankuasa PAS Pusat setelah pihaknya menyerahkan laporan mengenai perkara berbangkit.
"Prosedurnya ialah Saari dan Hasnul perlu bertemu setiausaha agung untuk menjelaskan perkara yang berlaku. Selepas pertemuan, pejabat setiausaha agung akan menentukan sama ada kes ini perlu siasatan lanjut atau tidak.
"Jika pejabat setiausaha agung merasakan ia perlu siasatan lanjut, maka kes ini akan dirujuk kepada lembaga disiplin untuk lakukan siasatan lanjut.
"Tetapi kalau pejabat setiausaha agung merasakan tidak perlu siasatan lanjut dan berpuashati dengan pertemuan yang diadakan, maka laporan mengenai kes itu akan terus diserahkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat untuk diputuskan.
"Dalam kes Saari dan Hasnul ini, pejabat setiausaha agung mendapati ia tidak perlu dirujuk kepada lembaga disiplin," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mustafa berkata pihaknya berpuashati dengan hasil pertemuan dengan Saari dan Hasnul yang berlangsung semalam di Pejabat Agung PAS.
"Saari dan Hasnul memberi kerjasama yang baik dan pertemuan diadakan secara berasing selama sejam untuk setiap seorang," katanya lagi.
Saari dan Hasnul dipanggil memberi keterangan kepada Setiausaha Agung PAS ekoran tindakan mereka menyokong Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Sealngor sebelum ini.
Akibat tindakan tanpa merujuk kepada PAS Pusat itu, banyak pihak dalam parti itu mahu supaya dua Adun tersebut dikenakan tindakan.
ULASAN GB
Jika laporan di atas benar, alhamdulillah...kita amat bersyukur kepadaNya...
Semuga tiada lagi U-turn terhadap keputusan di atas dan tiada lagi suara-suara sumbang dari mana-mana pihak dalam parti yang ingin meneruskan desakan supaya kedua-dua ADUN berkenaan dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti.
Sepastinya pihak pejabat SUA sudah menimbangkan dengan adil dan saksama segala fakta ... bahawa kedua-duanya tidak melakukan kesalahan tatkala menandatangani SD. Kerana tujuan mereka melakukan adalah untuk kebaikan Pakatan Rakyat secara amnya dan PAS sendirinya khususnya. Jika tidak, kerajaan PR Selangor sudah tumbang.
Tuduhan dan lemparan fitnah menyatakan mereka dibeli dan seumpamanya tiada buktinya. Justeru itu tidak boleh dibuat andaian dan tuduhan liar, yang mana, seperti yang GB pernah utarakan sebelum ini, pihak yang teraniaya tersebut boleh mengambil tindakan undang-undang kepada para penuduhnya.
Hukum kebenaran dan keadilan tetap berjalan... dan kebenaran itu akan tetap mengalahkan kebatilan...
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.