Tuesday, November 25, 2014

MINYAK DIRAMAL MEREDUM AS$60 SETONG , APAKAH PUNCANYA.....

Harga minyak diramal susut AS$60 jika OPEC kekal pendirian

Pengurus-pengurus dana komoditi percaya harga minyak global boleh jatuh sehingga AS$60 setong jika OPEC memutuskan enggan mengurangkan pengeluaran pada mesyuarat di Vienna.

Masa hadapan minyak mentah Brent LCOc1 menyaksikan penyusutan kali ketiga sejak Jun, berada pada harga di bawah AS$76.76 setong pada 14 November lalu.

"Pasaran akan mempersoalkan kredibiliti OPEC dan pengaruhnya dalam pasaran minyak global jika pengurangan tidak dilaksanakan.

"Ini kerana harga minyak boleh jatuh sehingga A$60 setong," kata Daniel Bathe, penganalisis Lupus Alpha Commodity Invest Fund.

Bathe berkata, pengurus dan penganalisis broker masih berbahagi sama ada OPEC akan mencapai perjanjian untuk mengurangkan pengeluaran.

Harga minyak mula menyusut disebabkan permintaan yang rendah terutama dari Eropah dan Asia.

Berikutan itu, beberapa pelabur percaya pengurangan kecil sekitar 500,000 setong juga tidak mencukupi untuk meredakan pasaran.

Ketua Pegawai Pelaburan RCMA Capital, Doug King meramalkan Brent jatuh kepada AS$70 setong jika pengeluaran dikurangkan kepada satu juta tong sehari ini.

Harga minyak itu diunjur mencapai kedudukan itu pada separuh pertama 2015.

"Sekiranya OPEC bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran, harga akan jatuh selanjutnya dan lebih cepat, dengan minyak mentah Amerika, CLc1 kemungkinan jatuh kepada AS$60," tambahnya.

Minyak mentah Amerika ditutup pada harga AS$76.51 Jumaat lalu.

Harga minyak di bawah harga AS$80 akan menjejaskan kedudukan negara kartel seperti Venezuela, kata Pengurus Dana Komoditi Threadneedle, Nicolas Robin.

Katanya, pengurangan lebih besar sama ada satu juta tong sehari atau lebih akan menyebabkan harga minyak melonjak melebihi AS$85 setong.

Doug Hepworth, penganalisis Gresham Investment Management berkata, harga pengurangan pengeluaran yang ketara sahaja mampu melonjakkan semula harga minyak.

"Untuk menaikkan harga minyak kepada AS$80 setong, pengeluaran perlu dikurangkan sehingga dua juta tong sehari.

Pasaran telah dibanjiri dengan teori-teori konspirasi mengapa Arab Saudi masih belum lagi campur tangan.


Kolumnis New York Times,Thomas Friedman membayangkan "perang minyak global yang sedang berlangsung memberi petunjuk bahawa Amerika Syarikat dan Arab Saudi berada di satu pihak menentang Rusia dan Iran pula di pihak lain".

Tom Nelson dari Investec Global Energy Fund percaya Arab Saudi membenarkan kejatuhan harga minyak untuk memberi insentif kepada pengeluar-pengeluar kecil yang pada kebiasaannya bergantung kepada campur tangan pengeluar besar, untuk menyertai Riyadh mengurangkan pengeluaran.

"Arab Saudi mahu mengurangkan pengeluaran tetapi enggan buat sendirian," tambah Nelson yang berpendapat pengurangan antara satu hingga 1.5 juta tong sehari adalah angka selesa untuk mengimbangi pasaran," katanya. - MalayisaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.