Sunday, February 1, 2015

Kerajaan Salahkan ‘George Soros Malaysia’ Jatuhkan Ringgit?

Wujud ‘George Soros Malaysia’?

Kegiatan yang akan mengkayakan segelintir pihak dan pada masa sama memiskinkan orang ramai, mendatangkan kesan buruk terhadap ekonomi negara


PETALING JAYA: Siasatan terperinci wajar dilakukan segera terhadap pihak yang mensabotaj ekonomi negara khususnya melibatkan spekulator mata wang yang bertindak menjatuhkan mata wang negara demi mengaut keuntungan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, besar kemungkinan di negara ini terdapat individu yang menjadi spekulator dengan menjatuhkan mata wang menerusi aktiviti menjual serta membeli mata wang secara spekulatif.

“Memang telah terbukti, George Soros mengakui sendiri menjadi spekulator mata wang di peringkat antarabangsa seperti yang berlaku pada tahun 1997 dan 1998.

“Kelihatan di negara ini (ada pihak) cuba menjadi seperti George Soros iaitu dengan membuat spekulasi kejatuhan ringgit untuk menjatuhkan mata wang negara sebelum membuat keuntungan daripada nilai ringgit yang rendah,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan terdapat ada pihak yang cuba mensabotaj ekonomi negara pada Kursus Penulisan Penerangan Puteri UMNO, di Kuala Lumpur, semalam.

Jelasnya, kegiatan berkenaan akan mengkayakan segelintir pihak dan pada masa sama memiskinkan orang ramai sekali gus mendatangkan pelbagai kesan buruk terutamanya terhadap ekonomi negara secara menyeluruh, lapor Utusan Online.

Sehubungan itu, Ahmad meminta supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Bank Negara Malaysia (BNM) segera menjalankan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.

“Sekiranya tuduhan itu benar dan melanggar peraturan negara, pihak serta individu terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan segera.

“Kita akan gunakan segala peraturan yang ada untuk melakukan penyiasatan dan akta-akta untuk menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan agensi kerajaan yang berkaitan supaya mengambil tindakan terhadap dakwaan tentang kegiatan individu tertentu mensabotaj ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, bukti perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum tindakan sewajarnya diambil terhadap individu terbabit.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh bekerjasama untuk mewujudkan jawatankuasa khas bagi memburu ‘penyangak-penyangak korporat’ terbabit.

Selain itu, menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan dan BNM sewajarnya memantau perbuatan individu-individu tertentu menggunakan akhbar seperti ‘The Edge’ dan ‘Malaysian Focus’ untuk menyebarkan spekulasi tentang dagangan mata wang.

“Pemuda UMNO Kedah percaya ada beberapa ‘tauke’ tertentu menggunakan akhbar-akhbar ini menyebarkan fitnah ekonomi dan spekulasi bagi meraih keuntungan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican baru-baru ini menggesa BNM menyiasat individu-individu yang yang cuba mensabotaj ekonomi negara melalui urusniaga mata wang bagi membiayai media baharu.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara, Mohamad Azli Mohamed Saad mendakwa, kegiatan tidak bertanggungjawab tersebut mempunyai motif politik yang lebih besar iaitu untuk mencabar kewibawaan Najib sebagai Menteri Kewangan.

Beliau yakin matlamat dalang berkenaan adalah untuk memaksa Perdana Menteri melepaskan jawatan sebagai Menteri Kewangan jika nilai ringgit terus merudum. ~FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.