Friday, January 30, 2015

'Tiba masanya warga KL tadbir sendiri'

Pengerusi NGO BERTINDAK, Ishak Surin berkata sudah tiba masanya warga Bandar Raya Kuala Lumpur mentadbir ibu kota itu sendiri.

Katanya, sudah 65 tahun warga ini dinafikan hak untuk memilih wakil mereka dalam pilihan raya kerajaan tempatan.

“Kita nak tadbir ibu kota kita sendiri, kita tolak pentadbiran buli rakyat,” katanya dalam sidang media di majlis perasmian NGO tersebut pagi ini.

Beliau yang turut mengetuai PAS kawasan Batu menjelaskan bahawa BERTINDAK merupakan gabungan NGO yang bekerjasama untuk menuntut agar pilihan raya PBT dilaksanakan semula di Kuala Lumpur.

Gabungan itu antara lainnya menghimpunkan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur, Persatuan Anak-anak Melayu Selangor/Wilayah Persekutuan dan Badan Bertindak Kampung Railway Sentul.

Ishak Surin berkata kebanyakan ibu kota utama di negara lain sudahpun ditadbir oleh wakil yang dipilih oleh rakyat setempatnya, seperti di Manila, Ho Chih Min, Jakarta dan Taipei.

“Maka, kita nak rakyat Kuala Lumpur dapat mentadbir dan mengurus bandar raya Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya juga, pilihan raya tempat tidak bercanggah dengan Perlembagaan kerana hak bersuara, berhimpun mahupun memilih wakil adalah termaktub dalam Perlembagaan.

Sebagai langkah susulan, BERTINDAK berkunjung ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 6 Februari jam 10.30 pagi untuk menyerahkan memorandum kepada Datuk Bandar.

“Kami juga akan mengadakan simulasi pilihan raya tempatan Kuala Lumpur pada tahun 2016,” jelasnya.
Malaysiakini 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.