Monday, March 30, 2015

Tindakan tegas polis, arahan siapa sebenarnya? – Shahbudin Husin

Image result for rafizi remanImage result for khalid Samad remanImage result for Mat Sabu remanImage result for hishamuddin rais reman

Sejak dua tiga hari lalu berita penahanan beberapa pemimpin pembangkang menjadi tajuk perbualan ramai di merata tempat. Ini berikutan kali ini mereka yang ditahan agak ramai berbanding sebelumnya, di samping cara penahanan dan layanan yang diterima turut menjadi perdebatan.
Selain Rafizi Ramli, Tian Chua, Hishammudin Rais dan Fariz Musa daripada PKR yang ditahan. Mohamad Sabu dan Khalid Samad daripada Pas juga turut ditangkap.
Mohamad Sabu ditahan di Pulau Pinang menjelang demonstrasi #KitaLawan Sabtu lalu dan dilepaskan kira-kira 23 jam kemudian dan dilaporkan tiada soal siasat atau keterangan diambil daripadanya. Beliau barangkali cuma mahu "direhatkan" di balai polis daripada menyertai demontrasi itu.
Rafizi yang ditahan kerana menghasut berkaitan demontrasi dan seruan untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditafsirkan pihak polis sebagai ancaman, selain digari tangannya bahkan juga dibawa ke pejabat PKR untuk diambil beberapa fail dan komputer untuk membantu siasatan. Begitu juga dengan yang lain-lain daripada PKR.
Dalam kes penangkapan paling ramai melibatkan pemimpin pembangkang sejak Anwar dipenjarakan, mereka ditahan sama ada di bawah Akta Hasutan atau pun perhimpunan haram.
Tetapi penahanan dan penangkapan yang agak ramai dan sedikit luar biasa kaedahnya ini menimbulkan banyak persoalan kepada rakyat. Dalam kes Khalid Samad misalnya, agak janggal pihak polis datang dengan jumlah yang ramai di awal pagi ke rumahnya sedangkan atas kedudukannya sebagai ahli parlimen, lebih mudah dan molek jika pihak sekadar menghubungi dan memintanya datang ke balai polis saja.
Ramai yang bertanya, apakah semua ini hanya merupakan pendirian tegas pihak polis yang kini diketuai KPN, Datuk Seri Khalid Abu Bakar saja? Jika itu benar, mereka turut bertanya, kenapa hanya sekarang tiba-tiba mahu bertegas sedangkan sebelum ini tidak demikian?
Ada juga yang mengaitkan tindakan pihak polis ini adalah atas arahan perdana menteri yang dikatakan mahu menunjukkan ketegasannya serta tidak mahu berlembut lagi sepertimana yang dilakukannya sebelum ini?
Dikatakan, bermula dengan pemenjaraan Anwar dan kini penahanan sekian ramai pemimpin pembangkang, ia adalah isyarat Datuk Seri Najib Razak tidak mahu bertolak ansur lagi terhadap pembangkang selepas ini.
Sebahagian yang lain pula mengatakan tindakan pihak polis ini adalah  atas arahan menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi untuk menunjukkan ketegasan dan tiada simpatinya terhadap Anwar dan para penyokongnya.
Beliau dipercayai banyak pihak terpaksa berbuat demikian untuk mematikan segala sesok-sosek dalam Umno yang masih berterusan mengaitkannya mempunyai perasaan yang sukar dilupakan terhadap ketua pembangkang itu.
Zahid didakwa melakukannya semata-mata kerana survival dan untuk memastikan laluan kerjaya politiknya lebih cerah di masa depan.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar juga dilaporkan bersungut kepada seorang bekas ahli Parlimen yang mengunjunginya di Sungai Buloh baru-baru ini, Zahid sebagai menteri Dalam Negeri turut bersikap lebih tegas mengenai layanan dan kemudahan yang diterimanya di penjara itu.
Anwar menyebut, berbanding ketika beliau di penjara sebelum ini iaitu ketika Tun Mahathir Mohamad menjadi menteri Dalam Negeri dan beliau lebih dianggap "musuh utama" kepada bekas PM itu, apa yang dilaluinya di penjara sekarang jauh lebih sukar lagi.
Tetapi ramai juga yang beranggapan pemimpin pembangkang sengaja membuat provokasi atau tindakan yang membolehkan mereka ditahan bagi menimbulkan kemarahan rakyat dan seterusnya melimpahkan simpati kepada perjuangan Pakatan Rakyat.
Dalam hal ini selain dikatakan pihak polis termakan dengan strategi mereka, ia juga selari dengan apa yang Anwar pernah ucapkan sebelum ini, pemenjaraannya akan menyebabkan sokongan rakyat kepada PR meningkat daripada 52 kepada 60 peratus.
Namun yang agak nakal lantas berkata, ini tandanya pihak polis turut menyokong PR. – shahbudindotcom.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.