Sebenarnya budaya ‘tak boleh bertanya’ sudah lama merebak dikalangan orang Melayu semenjak zaman dahulu lagi. Aku tak tahu pula samada budaya ini diamalkan juga oleh bangsa-bangsa lain. Tetapi yang nampak jelasnya amalan sebegini berleluasa diamalkan oleh orang Melayu.
Jiwa dan naluri ingin tahu kanak-kanak Melayu misalnya sering ‘mati’ di separuh jalan disebabkan ‘dibunuh’ oleh anggota masyarakat yang mengamalkan bdaya ‘tak boleh bertanya’. Rata-rata masyarakat Melayu tidak menggalakkan ‘anak-anak’ untuk menanyakan sesuatu. Apabila belajar agama misalnya pernah dketemui guru-guru agama akan mengeluarkan ‘fatwa’nya menyatakan, ‘guru agama jangan disoal…berdosa’ Maka tidak adalah lagi soalan yang ingin disoalkan kepada ‘anak-anak’ kerana takut ‘dosa’ sebagaimana yang disarankan oleh “Ustaz’ berkenaan.
Sehingga kini masih diamalkan oleh sebahagian besar guru-guru agama yang mengamalkan budaya’ tak boleh bertanya’ itu. Mereka langsung tidak memberi peluang kepada ‘pelajar-pelajar’ untuk bertanyakan sesuatu. Dan sekiranya dibenarkan bertanya dan jawapan yang diterima pula kadang-kadang amat menyedihkan. Misalnya ada Ustaz yang memulakan jawapanya dengan mengatakan, ‘ soalan sedemikian sepatutnya tidak diajukan yang berkemungkinan si penyoal terkeluar daripada akidah Islam…..”. Justeru jawapan sedemikian sudah boleh ‘menutup’ hati dan perasaan yang menyoal agar tidak meneruskan lagi soalan-soalan walaupun dalam benak penuh dengan soalan-soalan yang masih belum berjawab.
Rupa-rupanya keadaan sepertimana yang digambarkan di atas masih lagi berlaku pada Kurun ke21. Sekiranya betul apa yang tertulis dan dilaporkan oleh Malaysiakini bertarikh 29 Mei 2015 dengan tajuk ‘Banyak bertanya, Jabatan agama dakwa’ maka itu merupakan sejarah hitam dalam perkembangan agama Islam di negara ini.
Malaysiakini melaporkan,’ 'Pencarian' seorang lelaki untuk mendalami Islam membawanya ke tempat yang tidak pernah diingininya - masalah.Wan Sulaiman Wan Ismail, 54, dari Perak, sebelum ini membangkitkan persoalan mengenai perbezaan antara apa yang tertulis dalam al-Quran dengan amalan Muslim.Antara tempat yang dituju untuk mencari jawapan ialah pejabat Mufti Perak.
"Saya menganggap mereka sebagai guru. Sebab itu saya pergi ke sana untuk bertanya dan mendapatkan nasihat.Bagaimanapun mereka cuma memberitahu saya supaya ikut saja apa yang mereka kata," jelas Wan Sulaiman dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini” Malaysiakini 29 Mei 2015
Sekiranya betul sebagaimana yang dilaporkan maka bolehlah dikatakan bahawa jabatan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPP) sedang ‘sakit tenat’. Dan turut ‘tenat’ juga ialah Mufti Perak. Berdasarkan kepada laporan yang dilaporkan seolah-olah mengemukakan soalan berkaitan dengan prisnsip agama Islam merupakan suatu kesalahan. Tentulah Islam tidak mengajar begitu. Aku yakin bahawa bahawa Nabi Muhammad sememangnya menggalakkan umat Islam supaya bertanya dan menyelesaikan masalah-masalah yang terpendam dalam jiwa.
Awal Kurun ke 20, isu sebegini pernah juga dibangkitkan oleh Pendeta Za’ba dalam buku “Za’ba Patriot dan Pendeta Melayu’ karangan Adnan Haji Nawang. “Za’ba menyedari bahawa Islam sudah menjadi sebati dengan Melayu tetapi ia juga merasakan bahawa bangsa Melayu tidak mengikut ‘ajaran Islam yang sebenar’ berdasarkan al_quran dan Hadis yang sahih. Faktor ini dikatakan menjadi punca kepada kelemahan masyarkat Islam bukan sahaja di Tanah Melayu,malah di seluruh dunia Islam. Dalam hubungan ini, Za’ba lebih cenderung menyalahkan fahaman konservatif yang dikatakan tersalur melalui institusi formal dan ajaran oleh ulama Kaum Tua.
Itu pandangan Pendeta Za’ba yang diluahkannya disekitar tahun-tahun 1920an.Dan malangnya suasana seperti yang digambarkan oleh Za’ba itu masih berlaku. Amat malang sekali kepada orang Melayu. Dan Pendeta Za’ba mengatakan, Faktor ini dikatakan menjadi punca kepada kelemahan masyarkat Islam bukan sahaja di Tanah Melayu,malah di seluruh dunia Islam” Pandangan sedemikian harus direnung dan ditilik sedalam-dalammnya oleh golongan peneraju agama Islam di Malaysia yang merasakan diri mereka ‘serba pandai dan serba tahu’ itu.
Itu berkaitan dengan agama Islam. Namun begitu dalam hal-hal yang berkaitan dengan perkara lain juga rakyat tidak digalakkan bertanya. Dan sekiranya ada pihak yang berani bertanya pula, maka tidak ada jawapan yang diberikan. Dan sekiranya ada jawapan yang diberikan, maka jawapan itu adalah berkaitan dengan isu lain yang dicipta sendiri.
Rakayat Malaysia masih lagi tertanya-tanya tentang banyak perkara mengenai IMDB, Tabung Haji dan GST. Banyak sangat soalan yang belum dijawab dan kalaupun sudah ada jawapan telah menimbulkan lebih banyak soalan. Dan masih belum berjawab. Walaupun ada pengakuan tetapi kadang-kadang hanya merupakan pengakuan sebagai jawapan ‘melepaskan batuk di tangga sahaja’.
abuhassanadam
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.