Friday, August 28, 2015

#KekalNajib atau #UndurNajib

kekal-vs-undur
Oleh Raziq Michael
Harus diakui bahawa tidak ada Perdana Menteri Malaysia yang pernah menjadi sekontroversi seperti Perdana Menteri sekarang. Walaupun setiap bekas Perdana Menteri yang lalu memiliki cerita dan skandal politiknya yang tersendiri namun ianya tidak sesensasi skandal Najib Razak.
Adalah dungu untuk berfikir bahawa Najib Razak akan berundur dengan sebegitu mudah dan tunduk kepada desakan musuh-musuh politiknya. Terbaru, musuh ketatnya, Tun Mahathir Mohamed (The Financial Times, 26 Ogos 2015) turut membuat gesaan yang sama. Skandal 1MDB dan dana politik RM2.6bilion serta isu kelemahan kepimpinan adalah hujah kukuh negarawan ini untuk mahu menamatkan karier politik Najib Razak.
#KekalNajib
Najib Razak adalah satu-satunya Perdana Menteri yang bukan sahaja dikritik hebat malah turut dijadikan bahan sindiran serta cacian dalam media sosial. Namun menariknya, Najib Razak selepas enam tahun masih bertahan tanpa apa-apa petunjuk bahawa beliau akan berundur daripada politik. Bagi seorang Presiden parti, kekuatanya terletak pada ahli-ahli partinya. Namun agak berbeza dengan Najib Razak apabila beliau dengan beraninya menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada kabinetnya dan tindakan drastik ini pula mengundang kemarahan penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut.
Dalam politik, tidak mungkin seorang Perdana Menteri membuat keputusan secara terburu-buru kerana setiap keputusannya melibatkan survival politik dirinya, partinya serta melibatkan undi rakyat. Ini termasuklah perlantikkan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baru. Hakikatnya kombinasi antara Najib Razak dan Zahid Hamidi dilihat seolah membentuk satu keseimbangan kualiti pentadbiran umpama Yin dan Yang.
Tidak boleh dinafikan, bahawa strategi politik pembangkang dilihat cukup mantap terutamanya dalam soal mainan persepsi dalam kalangan rakyat. Ini dapat dilihat dalam isu 1MDB sehinggakan pada satu tahap rakyat diperdaya dengan begitu baik sekali kononnya negara akan muflis kerana 1MDB. Tetapi strategi ini dipatahkan dengan taktik tunggu dan lihat. Walaupun strategi politik Najib Razak dilihat agak berbahaya namun dalam situasi tertentu, ianya sangat berkesan apatah lagi dengan masalah kredibiliti dan kepercayaan sesama parti pembangkang semakin meruncing.
Dalam kancah sains politik, tidak ada mana-mana ahli politik yang akan letakkan kepentingan rakyat terlebih dahulu kerana kuasa dan hegemoni mengatasi segala-galanya. Maka, adalah aneh bunyinya apabila seorang bekas Perdana Menteri yang pernah dikaitkan dengan beberapa skandal sewaktu pentadbirannya bermati-matian mahu menyingkirkan Najib Razak kononnya mahu berjuang bersama rakyat. Bagaimana mungkin seorang negarawan menjadi sehati sejiwa dengan ideologi pembangkang? Maka tidak keterlaluan untuk mengandaikan ‘ada udang disebalik batu’ akan tindakannya ini.
Jika Najib Razak mampu bertahan dengan situasi politik ini maka tiada sebab untuk kita perlukan seorang Perdana Menteri yang baru. Apa yang Najib Razak perlukan adalah kepercayaan rakyat pada pentadbirannya.
#UndurNajib
Masalah utama pentadbiran Najib Razak adalah memiliki satu kelompok penasihat dan pegawai yang gagal berfungsi semaksimum yang diperlukan dalam pertahankan pentadbiran kerajaannya serta mengembalikan kepercayaan rakyat kepadanya.
Propaganda pembangkang tidak lain tidak bukan hanyalah bergantung sepenuhnya kepada media sosial. Apa guna menerima dana politik yang berbilion ringgit serta memiliki ahli parti yang mencecah jutaan angka tetapi tewas mudah ditangan pembangkang dalam media sosial?
Pentadbirannya memiliki lebih daripada 30 menteri dan penasihat bertaraf menteri tetapi setiap kali sesuatu isu ditimbulkan atau persepsi negatif dimainkan oleh pembangkang hanya kelihatan seorang dua menteri yang bertungkus lumus pertahankan ketua mereka sementara yang lain semacam tidak tahu langsung untuk menyusun strategi politik dan propaganda melawan kembali persepsi tersebut.
Sebagai contohnya fakta menunjukkan bahawa Malaysia mencatatkan rekod pelaburan dari Januari hingga Jun tahun ini ialah RM113.5 bilion dengan 2,487 projek pembangunan diluluskan. Ini satu manfaat besar kepada rakyat. Tetapi persepsi rakyat keseluruhannya hanyalah tentang kegagalan 1MDB dan kejatuhan nilai ringgit yang kononnya akan menyebabkan negara muflis. Hakikatnya jika jentera propaganda kerajaan itu tidak kuat maka itu adalah petanda betapa ketuanya juga lemah kerana gagal wujudkan sistem pentadbiran yang mengutamakan korelasi antara rakyat dan kerajaan.
Pilihan Di Tangan Anda
Buat ahli UMNO dan Barisan Nasional, individu yang difitnah dan mahu dijatuhkan adalah Presiden Parti dan Pengerusi Komponen Parti anda. Ianya bukan bersifat peribadi semata-mata. Ini adalah tentang maruah parti dan maruah anda sebagai ahli parti. Siapa sahaja ditempatnya harus dipertahankan. Itulah perjuangan sejati seorang ahli parti.
Buat rakyat Malaysia, sekiranya anda berpendapat bahawa kerajaan yang sedia ada ini perlu diturunkan daripada Putrajaya maka tunjukkan tanda protes anda dalam pilihanraya ke 14 nanti. Segala mainan persepsi negatif dan tuduhan liar pembangkang serta demonstrasi jalanan buat masa kini tidak akan menganggugugat pentadbiran Najib Razak sama sekali.
Raziq Michael adalah pembaca FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.